PUTRAJAYA – Jasa Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa kepada negara tidak dapat dinafikan, apatah lagi beliau merupakan antara individu penting di sebalik kejayaan Menteri Kesihatan, Khairy Jalamuddin Abu Bakar.
Beliau berkata, Allahyarham Ali banyak membantunya mendalami selok-belok pentadbiran negara ketika pertama kali Ahli Parlimen Rembau itu dilantik sebagai menteri ketika berusia 33 tahun.
“Secara peribadinya saya sangat rapat dengan Tan Sri Ali, saya dilantik menteri sewaktu saya berusia 33 tahun tidak pernah ada apa-apa pengalaman pentadbiran kerajaan.
“Banyak perkara saya telah belajar daripada Tan Sri Ali, beliau seorang yang sangat pemurah hati dengan ilmu.
“Pengalaman beliau telah memberi nasihat dan bimbingan kepada saya sebagai anggota pentadbiran,” katanya kepada pemberita selepas membuat penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, di sini, hari ini.
Tambah Khairy, beliau sangat mengagumi cara pemikiran Allahyarham yang luar biasa berbanding penjawat awam lain.
“Beliau dapat melihat satu isu bukan hanya dari sudut penjawat awam sahaja, tetapi dari sudut pelbagai pihak.
“Sebab itu pengalaman beliau sebagai ketua kepada unit kerjasama awam dan swasta sangat bernilai apabila menjadi KSN.
“Beliau bukan hanya melihat penyelesaian kepada masalah rakyat datang daripada kerajaan semata-mata tetapi datang daripada pelbagai sudut dan pendekatan.
“Saya berpandangan antara KSN yang terbaik dalam sejarah negara kita dan pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada negara kita,” katanya.
Katanya lagi, Allahyarham Ali juga sentiasa menasihatkan jemaah Kabinet yang baru dilantik agar menjayakan sesebuah kementerian tanpa perlu membuat pertukaran penjawat awam sedia ada.
“Pada waktu kita mula jadi menteri mungkin ada menteri-menteri yang perlukan KSU, lantik KSU baharu dan sebagainya,
“Tapi Tan Sri mengingatkan saya supaya menggunakan individu sedia ada dalam organisasi.
“Tak perlu tukar orang, pemimpin mesti tunjuk kepimpinan dengan mengurus sumber manusia sedia ada.
“Itu bagi saya antara nasihat paling saya hargai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette