Kesan lebam pada lengan bayi disyaki didera oleh pengasuhnya. foto FB Khidmat Pengasuh Shah Alam.

PENDERAAN kanak-kanak bukanlah satu isu asing di Malaysia kerana lebih daripada 1,000 kes dicatatkan setiap tahun dan lebih daripada 5,000 kes pada tahun 2020 ketika negara dilanda penularan Covid-19. Beberapa faktor yang boleh menyumbang kepada berlakunya kes penderaan kanak-kanak. Antaranya ialah penceraian. Peningkatan kes penceraian di Malaysia boleh mengundang kepada peningkatan kes penderaan kanak-kanak.

Apabila berlakunya penceraian, hak penjagaan akan diberikan kepada samada ibu atau bapa. Ini akan menyebabkan penjaga sukar memberi perhatian sepenuhnya kepada anak mereka sehingga membawa kepada pengabaian. Selain daripada itu juga, penjaga terpaksa menjaga anak mereka seorang diri tanpa ada sokongan dan bantuan dari pasangan. Malah penjaga, terutamanya ibu yang bekerja, berisiko mengalami tekanan kerana terpaksa menguruskan anak-anak dan pada masa yang sama terpaksa mencari wang untuk meneruskan kelangsungan hidup. Disebabkan penjaga terpaksa bekerja, anak-anak akan ditempatkan di rumah asuhan dan dijaga oleh pengasuh. Hal ini akan menyebabkan kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada penderaan.

Kesan penderaan kanak-kanak adalah sangat buruk dan bersifat jangka panjang. Antaranya adalah mereka akan mengalami tekanan emosi dan akhirnya akan menjejaskan tumpuan mereka dalam pembelajaran. Natijahnya, prestasi mereka dalam akademik merosot. Terdapat kajian menunjukkan bahawa 13% kanak-kanak yang didera lebih cenderung untuk gagal menamatkan pengajian mereka di sekolah.

Penderaan juga akan memberi kesan kepada tingkah laku kanak-kanak. Mereka yang sebelum ini ceria dan mudah terhibur akan lebih cenderung untuk menyendiri. Mereka mengalami trauma dan takut untuk bergaul dengan orang lain. Mereka juga menjadi kurang yakin pada diri sendiri. Oleh itu, semua individu terutamanya rakan-rakan, jiran-jiran dan guru-guru di sekolah, haruslah bertanya dan mengambil berat terhadap kanak-kanak sekiranya mendapati perubahan sikap kanak-kanak secara tiba-tiba.

Kita juga perlu sentiasa lebih peka terhadap sebarang kecederaan fizikal pada kanak-kanak. Sekiranya kanak-kanak mengalami lebam atau luka yang mungkin disebabkan penderaan, kita haruslah melaporkan kepada pihak bertanggungjawab dengan kadar segera sebelum keadaan menjadi lebih parah. Tambahan lagi, kajian mendapati bahawa kanak-kanak yang didera lebih berisiko untuk mengalami beberapa masalah kesihatan dalam jangka masa panjang seperti serangan jantung, tekanan darah tinggi, kegagalan paru-paru dan sebagainya

Penderaan kanak-kanak juga boleh membawa kepada masalah sosial seperti pengambilan dadah, membuli dan mencuri. Seorang pelajar sekolah pernah ditanya kenapa beliau mencederakan rakannya. Jawapannya sangat mengejutkan iaitu “saja”. Apabila ditanya tentang latar belakang keluarga beliau, rupa-ruapanya ayah dan ibu beliau sudah bercerai. Beliau diabai dan tidak diberi perhatian dengan secukupnya. Hal ini juga boleh dikategorikan sebagai penderaan kanak-kanak di bawah pengabaian. Kanak-kanak sengaja mencetuskan masalah di sekolah atau di luar sekolah hanya kerana inginkan perhatian dari orang lain kerana mereka tidak mendapat perhatian dari ibu bapa mereka sendiri.

Melihat kepada kesan penderaan kanak-kanak yang sangat serius, masalah ini harus ditangani dengan segera kerana mereka sepatutnya dibentuk menjadi aset penting kepada negara. Sekiranya masalah ini terus menjadi sebati dalam masyarakat, kos perbelanjaan kesihatan juga akan terus meningkat untuk merawat kanak-kanak yang didera. Oleh itu tanggungjawab untuk melaporkan penderaan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama.

Oleh: Dr Mohd Shahidan Shaari
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)