Muhamad Khalid Jamlus

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang skuad kebangsaan, Khalid Jamlus berang dengan tindakan pemilik kelab, Impact Media & Communication (IMC) yang tidak menghormati  pemain kelab itu.

Menerusi Instagram Story miliknya, Khalid menganggap gurauan salah seorang daripada pihak pengurusan terhadap pemain dianggap melampau.

“Hello bro, kamu adalah bos mereka. Tapi kamu jumpa pemain di kedai makan, lepas tu kamu cakap kepada pemain, haa ada duit untuk mereka makan. Apa punya manusia kamu ni?

“Mereka bermain untuk kamu dan kamu tidak membayar gaji mereka. Ayat kamu dah macam caci maki dan hina pemain. Bukannya kamu patut beri mereka duit?

“Cerdik sikit jangan hina pemain-pemain tu. Anda dah melampau!,” tulis Khalid Jamlus menerusi laman Instagram Story miliknya.

Foto Instagram Khalid Jamlus.

Sebelum ini, peminat Perak menggesa agar IMC segera melepaskan pasukan kepada pemilik baharu sedia ada agar mereka boleh menguruskan kelab dengan lebih teratur dan pemain serta pegawai segera menerima gaji yang sehingga saat ini mereka belum terima.

Menurut Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir, selepas meneliti dan menperhalusi permohonan Perak pada 18 April lalu, pihak Jawatankusa FIB memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab Liga Premier itu menyelesaikan segala proses rundingan bersama pemilik baharu sehingga 29 April depan.

“Pihak Jawatankuasa FIB membuat keputusan untuk memberikan ruang masa kepada Perak FC kerana kami berharap dengan penyelesaian proses rundingan berkenaan akan dapat memberi satu sinar baharu kepada kebajikan pemain dan pegawai Perak.

“Bagaimanapun sekiranya Perak masih gagal menyelesaikan urusan berkenaan pada tarikh yang telah ditetapkan maka pihak Jawatankuasa FIB akan mengambil tindakan lanjut serta membawa perkara ini ke pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya.

Perak yang diwakili oleh IMC telah bertemu dengan wakil daripada JR Resources pada minggu lalu untuk meneruskan urusan penjualan kelab tersebut.

Bagaimanapun, JR hanya diwakili oleh peguam dan pembantu mereka, tanpa kehadiran pengarah syarikat tersebut.

Oleh itu, kedua-dua pihak sepakat untuk bertemu pada minggu hadapan bagi melengkapkan proses menandatangani perjanjian pengambilalihan Perak. – MalaysiaGazette