Barisan kepimpinan Koperasi Juah Berhad bersama pegawai SKM dan ahli KJB di majlis pelancaran koperasi itu di sebuah hotel semalam.

KUALA LUMPUR – Koperasi Juah Berhad (KJB) yang baru berusia satu bulan penubuhannya mempunyai visi untuk membantu usahawan agrikultur dalam mempertingkatkan sosio ekonomi mereka.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Zul Azhari Mohd Juah, ini selaras dengan aktiviti utama perniagaan koperasi itu dalam sektor pertanian.

Kata beliau, KJB kini dianggotai usahawan tani dan individu perseorangan yang semuanya menunjukkan minat berkecimpung dalam pertanian.

Zul Azhari Mohd Juah

“Objektif utama koperasi ini adalah untuk melahirkan teknokrat petani yang berjaya, di samping menjadi pertanian sebagai satu sumber pendapatan utama koperasi serta ahlinya.

“Kita menyasarkan jumlah keanggotaan kira-kira 2,000 ahli yang menumpukan kepada pertanian dan dengan jumlah kekuatan anggota yang ramai, akan merancakkan kegiatan ekonomi perniagaan,” katanya pada majlis pelancaran KJB di sebuah hotel di sini, semalam.

Koperasi itu dirasmikan Naib Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Siti Azlin Ahmad Dauta, yang turut dihadiri 240 ahli KJB.

Siti Azlin Ahmad Dauta

Pada majlis itu juga, KJB turut melancarkan Tabung Pembiayaan Inkubator Pertanian Koperasi Juah Berhad sebagai usaha melahirkan usahawan teknokrat yang berniaga secara berkoperasi.

Jelas Zul Azhari, setiap anggota yang dibiayai melalui skim pembiayaan tabung itu akan diberi latihan awalan secara khusus dalam bidang pertanian, penternakan dan hasil luaran pengeluaran produk kampung mengikut bidang diceburi.

“Tabung Inkubator ini akan dibiayai koperasi untuk usahawan memulakan perniagaan.

“Perolehan pembiayaan akan diperolehi dari modal saham anggota dan dari institusi kewangan melalui khidmat nasihat SKM.

“Modal pusingan perniagaan akan diberikan mengikut kesesuaian dan daya maju projek yang akan dilaksanakan,” kata beliau.

Menurutnya, jawatankuasa kelulusan dan pandangan dalam skim pembiayaan Tabung Inkubator itu pula disertai wakil Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, FAMA serta SKM Wilayah.

Jawatankuasa itu, katanya, dilantik bagi pemantauan perjalanan Tabung Inkubator agar dilaksanakan dengan lancar.

“Kita juga menjemput agensi lain untuk memberi pandangan terhadap projek yang akan dibangunkan ini kerana pelaksanaan dan perancangan yang rapi, KJB yakin tabung ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota koperasi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast