GAMBAR FAIL. Rosmah Mansor hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan tiga pertuduhan rasuah yang dihadapinya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah luar bandar di Sarawak ketika dihadapkan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan kekal sebagai hakim perbicaraan kes pengubahan wang haram (AMLA) dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini memohon untuk menggugurkan Mohamed Zaini sebagai hakim bagi mendengar perbicaraannya atas dakwaan kemungkinan hakim itu akan bertindak prejudis dan berat sebelah.

Ia memandangkan Mohamed Zaini juga merupakan hakim yang sama mendengar perbicaraan kes rasuah hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak melibatkan Rosmah yang ketika ini  sudah masuk peringkat membela diri.

Bagaimanapun untuk kali kedua, Hakim Mahkamah Tinggi itu menolak permohonan Rosmah supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut yang akan mula dibicarakan pada Khamis ini.

Kata Mohamed Zaini, sudah tiba masanya untuk Rosmah berhenti melakukan permohonan berhubung perkara itu lagi.

“Orang ramai mahu kes-kes ini segera selesai, sepatutnya permohonan seperti ini tidak sepatutnya di benarkan untuk beberapa kali,” katanya hari ini.

Seperti sebelum ini beliau akan memastikan Rosmah tidak akan diprejudis dalam kes pengubahan wang haram apabila rujukan dibuat kepada kenyataan dalam kes rasuah projek solar memandangkan  hakim dikehendaki mempertimbangkan secara berasingan dan secara bebas keterangan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun Mohamed Zaini membenarkan penangguhan kes penggubahan wang haram pada Khamis ini sehingga permohonan di Mahkamah Rayuan selesai.

Sebelum ini, Rosmah memfailkan permohonan supaya Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas alasan keterangan dan eksibit telah dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan kes solar itu boleh secara langsung atau tidak langsung boleh mempengaruhi hakim dalam kes pengubahan wang haram tersebut.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 serta lima pertuduhan gagal menyerahkan penyata pendapatan kepada LHDN.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama. – MalaysiaGazette