Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Pemuda UMNO Kelantan menggesa kerajaan segera membuat siasatan menyeluruh terhadap semua hakim yang terlibat dalam perbicaraan ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, siasatan itu mesti turut melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan kerana dibimbangi mempunyai unsur untuk menjatuhkan hukuman ke atas Najib.

Ujar beliau, bukti dikemukakan peguam bela langsung tidak diambil pakai, malah lebih pelik lagi saksi utama seperti Jho Low dan Nik Faisal Ariff tidak dipanggil untuk diberi keterangan, sedangkan dua orang ini antara watak penting dalam ‘urusan luar biasa’.

“Mutakhir ini, satu demi satu bukti mengaitkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nazlan Mohd Ghazali dengan konspirasi pendakwaan terpilih ke atas Najib Razak dalam kes 1MDB.

“Sejak awal lagi Pemuda UMNO mengesyaki seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan lantikannya selaku hakim yang mengadili perbicaraan ini.

“Ini dikuatkan lagi dengan isu Nazlan terbabit secara langsung sebagai Penasihat Undang-Undang dalam bank yang menjadi panel kepada syarikat 1MDB yang berkait rapat transaksi dengan Jho Low.

“Malah, Pemuda UMNO terkejut apabila dikatakan ada transaksi wang masuk berjumlah RM1 juta lebih ke dalam akaun peribadinya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Noor Hariri, sifir mudahnya, mana mungkin seseorang itu dijatuhkan hukuman, sementelah saksi utama yang menyebabkan segala kebobrokan huru hara itu bebas menjalani kehidupan di luar sana.

“Secara ringkas, Hakim Nazlan ini satu contoh ‘Judiciary Embarassment’ yang menjadi punca ketidakyakinan rakyat kepada bidang kehakiman negara yang terdedah dengan isu sogokan rasuah, integriti tercalar dan menjatuhkan hukuman melalui skrip yang direka pihak tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast