Foto: Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan dalam penggunaan peruntukan di bawah Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (Pemberian MARRIS) sebanyak RM5 bilion untuk tahun ini.

Dana tersebut bagi pembiayaan kerja-kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian serta pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembentung dan cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

Langkah itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan terhadap MARRIS yang merupakan satu bentuk sokongan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri.

Menurut Ismail Sabri, Kerajaan Persekutuan amat prihatin ke atas situasi yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri pasca banjir Monsun Timur Laut yang lalu.

“Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengkaji semula Pemberian MARRIS supaya peruntukan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui memperluaskan lagi skop perbelanjaan MARRIS untuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti yang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan Pemberian MARRIS,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat yang dihadiri oleh Menteri Besar serta wakil Ketua Menteri dari semua negeri itu turut bersetuju untuk meningkatkan peruntukan pindahan fiskal ekologi (EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta.

Peningkatan itu adalah sebagai insentif khusus kepada negeri-negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

Ismail Sabri berkata, insentif berkenaan bagi menggalakkan kepada Kerajaan Negeri meningkatkan usaha pemeliharaan serta pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan dan marin.

Turut diputuskan caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP).

Katanya, sebuah jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan ditubuhkan bagi membuat semakan semual formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan Pemberian TAHAP.

“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

“Langkah ini bagi memperkukuhkan lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam tahap yang terbaik,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Kerajaan Persekutuan berharap pemberian tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette