penulis (tengah) bersama-sama rakan sejawat di sebuah majlis Iftar di Bandar Baru Bangi, Selangor

HARI  Raya Aidilfitri bakal disambut tidak lama lagi. Ini merupakan kali pertama selepas dua tahun rakyat Malaysia tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing susulan sekatan pergerakan yang diperkenalkan untuk membendung penularan wabak covid-19.

Jelaslah bahawa suasana Hari Raya kian dirasai seluruh lapisan masyarakat Malaysia. Seiring dengan fasa peralihan ke endemik, orang ramai mula membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Puasa. Ini jelas ternyata apabila pusat membeli belah dan bazar-bazar Ramadan semakin pesat dengan kunjungan orang awam.

Secara kesluruhan, kita boleh memerhati yang pematuhan Prosedur Operasi Standard, SOP secara lazimnya dipatuhi kebanyakan individu dan ini merupakan tanda aras yang masyarakat semakin menghampiri kembali ke kehidupan biasa iaitu pra Covid-19.

Statistik kes positif menunjukkan trend menurun dan mungkin ini boleh dikaitkan dengan kejayaan program vaksin dan pematuhan kepada SOP serta kawalan kendiri orang ramai yang bagus. Pemulihan ekonomi yang sedang berlaku juga adalah sesuatu yang positif dan dialu-alukan.

Namun, kita semua perlu memainkan peranan untuk melindungi kejayaan yang dicapai setakat ini. Kita semua mempunyai tanggungjawab masing masing untuk melindungi satu sama lain dalam perang menentang Covid-19.

Semangat perpaduan dan konsep “kita jaga kita” yang ditunjukkan masyarakat Malaysia semasa negara melalui tempoh penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi jelas menunjukkan keutuhan perpaduan kaum di Malaysia.

Malahan, semangat perpaduan yang ditunjukkan itu merupakan amalan dan sikap yang mulia dan perlu berlarutan walaupun pada fasa pasca pandemik dan diangkat sebagai amalan cara hidup.

Jangan salah anggap, saya tidak menafikan yang semangat itu sedia wujud tetapi ia diperkukuh semasa musibah Covid-19. Kejayaan yang dicapai setakat ini adalah hasil kerjasama dan penyatuan semua rakyat.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua orang untuk menghayati dan menggunakan bulan Ramadan untuk sentiasa muhasabah diri.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang suci dan merupakan masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia untuk tingkatkan semangat Keluarga Malaysia melalui toleransi dan perpaduan di antara kaum dan ini merupakan asas dan kunci kejayaan sesebuah negara.

Yeap Ming Liong
Subang Jaya Selangor