KUALA LUMPUR – Cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd dan Digi.com Bhd bagi membentuk entiti baharu dikenali sebagai MergeCo dijangka selesai pada separuh kedua 2022, kata Axiata Group Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata, penyempurnaan transaksi itu akan tertakluk kepada kelulusan kedua-dua syarikat dan pemegang saham Digi, kelulusan kawal selia dan terma serta syarat lain.
Axiata dan Telenor Group pada 8 April 2021 mengumumkan, bahawa mereka sedang dalam perbincangan lanjutan untuk melaksanakan penggabungan operasi Celcom dan Digi.
“Lembaga pengarah kami juga mengumumkan Axiata telah dimaklumkan oleh Digi bahawa permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk mendapatkan kelulusannya bagi cadangan penggabungan telah dikemukakan oleh Digi pada 28 Januari 2022,” katanya. – MalaysiaGazette