Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pegawai awam yang didapati bersalah oleh mahkamah kerana terlibat dengan rasuah akan dikenakan tindakan tatatertib sehingga dibuang kerja.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata, pihaknya  memandang serius isu pegawai awam yang terlibat dengan gejala rasuah termasuk kesalahan jenayah yang lain.

“Tindakan tatatertib ini selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu, beliau  mengingatkan semua Ketua Jabatan di peringkat Kementerian/ Jabatan/ Agensi supaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi siasatan dan penguatkuasaan sekiranya ada pegawai yang terlibat dengan jenayah berkenaan.

Tambah Mohd Shafiq, ketua-ketua jabatan hendaklah menyediakan mekanisme kawalan bagi menghalang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.

Jelasnya, mekanisme yang boleh digunakan termasuklah pendigitalan proses kerja, semakan semula ke atas pekeliling-pekeliling perkhidmatan awam yang berkuat kuasa dan sebagainya.

“Penambahbaikan ini adalah untuk memastikan segala tatacara pengurusan kewangan, projek dan perolehan Kerajaan dipatuhi sepenuhnya, tanpa sebarang kompromi,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian merujuk laporan media bertajuk “Penjawat Awam Minta Habuan RM100,000 Ditahan”.

Katanya lagi, sebarang kegagalan di pihak Ketua Jabatan memastikan pematuhan peraturan akan disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya selaras dengan Peraturan 3C P.U.(A) 395/1993 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.- MalaysiaGazette