Etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh pada 2017 selepas tindakan kekerasan oleh tentera Myanmar. Foto Reuters

SESAK. Itulah keadaan yang menggambarkan situasi di kem pelarian utama di Cox Bazar, Bangladesh yang menempatkan pelarian etnik Rohingya. Cox Bazar adalah kawasan kem pelarian yang mempunyai kapasiti besar dan luas. Walaupun nama Cox Bazar antara yang dikenali secara umum, namun wujud juga kem-kem pelarian yang lain misalnya di Kutupalong dan Narayapa. Kedudukan geografi kem-kem tersebut juga agak jauh di antara satu sama lain umpamanya Kem Narayapa yang berjarak lebih kurang 150km dari Cox Bazar.

Jarak ini lebih kurang dari Pusat Bandar Kuala Lumpur,Malaysia ke Tapah, Perak, Malaysia. Cox Bazar yang menjadi tempat perlindungan sementara telah menempatkan hampir 1.2 juta orang pelarian etnik Rohingya akibat daripada Operasi Pembersihan pada tahun 2017 oleh kerajaan Tatmadaw di Myanmar. Hal kesesakan dan kepadatan yang berlaku
ini menyebabkan kerajaan Bangladesh memutuskan untuk menghantar pelarian Rohingya ke sebuah pulau terpencil yang dinamakan sebagai Pulau Bhasan, Bhasan Char atau Char Piya. Isu Pulau Bhasan Char Pulau Bhasan Char ini adalah sebuah pulau yang baru sahaja muncul akibat daripada perubahan pada faktor geografi dan fenomena alam yang menyebabkan air di Teluk Bengal menyurut.

Perubahan alami yang berlaku menyebabkan munculnya Pulau Bhasan Char dan Tengar Char yang dahulunya diliputi air kemudian bertukar menjadi daratan. Inilah pulau yang ingin dijadikan sebagai penempatan baharu oleh kerajaan Bangladesh kepada pelarian etnik Rohingya. Secara geografinya, ia sebuah daratan yang baharu muncul membentuk sebuah pulau kecil yang terpencil di kelilingi oleh Teluk Bengal.

Namun, ia sebuah pulau yang lebih luas iaitu sebesar lebih kurang 40 km per segi berbanding kem pelarian etnik Rohingya di Kutupalong yang hanya sebesar lebih kurang 13 km per segi. Dari sudut saiz, pulau ini nampak lebih sesuai dan praktikal untuk membentuk sebuah penempatan baharu bagi pelarian etnik Rohingya. Hal ini menyebabkan Kerajaan Bangladesh memulakan projek penempatan semula pelarian etnik Rohingya di pulau tersebut.

Projek tersebut dinamakan sebagai Projek Ashrayan yang telah disokong oleh UNHCR melalui MOU yang ditandatangani pada bulan Oktober 2021. Projek ini menelan belanja hampir RM1.5 bilion atau AS$350 juta. Di Pulau Bhasan Char, kerajaan Bangladesh membina infrastruktur seperti rumah kluster sebanyak 1,400 unit dengan setiap unit akan mempunyai lebih kurang 16 buah bilik. Selain itu, kerajaan juga menyatakan telah membina perumahan yang berkaki dengan ketinggian 14 kaki dari permukaan tanah untuk mengelakkan ditengalami banjir dan binaan yang boleh menahan angin puting beliung sehingga 260 km sejam. Dari sudut teoritikalnya, nampak seperti kerajaan Bangladesh telah menyediakan pulau ini untuk penempatan kekal untuk pelarian etnik Rohingya.

Penentangan oleh pelarian Rohingya dan pejuang hak asasi

Walaupun kerajaan Bangladesh telah mempersiapkan Pulau Bhasan Char dan memorandum persefahaman (MoU) yang termeterai dengan PBB melalui UNHCR, namun ada penentangan yang berlaku sehingga ke hari ini. Bagi pejuang hak asasi seperti Human Right Watch, Amnesty International, Refugee International, penentangan mereka pada awalnya ada asas yang kukuh iaitu isu keselamatan dan teknikal di pulau tersebut. Sebuah pulau tepencil, perlu disertakan dengan pelan pembangunan yang menyeluruh berkaitan sumber makanan dan minuman, bekalan perubatan dan sistem pendidikan bukan semata-mata fasiliti dan premis perumahan.

Selain itu, isu keselamatan iaitu adakah pulau ini boleh menjadi sasaran pihak yang ingin memperluaskan wilayahnya perlu diteliti dengan sempurna. Tambahan pula, mungkin tiada sesiapa insan di dunia ini yang mahu duduk di negara orang lain dan meninggalkan tanah ibunda mereka. Demikian halnya dengan pelarian etnik Rohingya yang sebenarnya mahu kembali ke Arakan/Rakhine dan hidup di tanah sendiri.

Penulis bukanlah membela sikap penentangan tersebut namun isu utamanya ialah hak kewarganegaraan kepada etnik Rohingya adalah isu yang lebih utama dan penting. Mereka perlu kembali ke tanah air sendiri walaupun pada ketika ini usaha ini agak mustahil untuk dicapai. Maka, usaha sebolehnya berfokus kepada pengiktirafan kewarganegaraan dan penghantaran pulang pelarian etnik Rohingya ini ke tanah asal mereka. Walau bagaimanapun, tindakan kerajaan Bangladesh untuk menyediakan kemudahan di Pulau Bhasan Char adalah satu usaha terpuji dan perlu diberi pujian dalam mengatasi masalah pelarian etnik Rohingya yang berlindung di negara itu.

Dr. Mohd Ramlan Mohd Arshad,
Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM
Felo Bersekutu, Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand, Singapura, UUM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.