Muhammad Falihin Abdul Talib menutup wajahnya ketika tiba di Mahkamah Majistret George Town hari ini. Foto Bernama

GEORGE TOWN – Seorang penghantar makanan didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita warga Indonesia, Rabu lepas.

Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi mencabul kehormatan wanita berkenaan pada 12.30 tengah hari, 20 April lepas di Jalan Bukit Gambir, Gelugor.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim yang meminta denda setimpal dikenakan sebagai pengajaran manakala tertuduh diwakili peguam, S Bommy.

Dalam rayuannya, Muhammad Falihin memohon denda minimum kerana berpendapatan RM2,000 sebagai penghantar makanan dan perlu menanggung seorang anak berusia setahun dan isterinya sedang hamil lima bulan.

Nur Melati memerintahkan tertuduh didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast