PLUS

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk memastikan maklumat trafik terkini dan pemanduan di lebuh raya disalurkan secara berterusan kepada pengguna lebuh raya pada perayaan Aidilfitri ini.

Antara rakan strategiknya ialah Astro Radio, Celcom dan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya) untuk memastikan maklumat trafik terkini serta pengumuman berkenaan lebuh raya dapat disalurkan kepada orang ramai secara konsisten.

”Kolaborasi bersama Astro Radio menyaksikan stesen-stesen radio popular pihak terbabit akan menyalurkan maklumat trafik terkini setiap jam kepada pendengar mereka pada hari-hari puncak. Ini memberi peluang kepada pemandu dan pendengar merancang perjalanan mereka,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Selain itu, kolaborasi bersama Celcom dan MOTAC pula akan menyaksikan kedua-duanya menyalurkan maklumat serta tip pemanduan musim perayaan menerusi saluran media sosial mereka dan berkongsi hebahan media sosial PLUS di platform masing-masing.

Sebagai tambahan, pihak Celcom juga telah menyediakan stesen pemancar mudah-alih di Hentian Sebelah Juru, laluan lebuhraya berhampiran Tapah, Plaza Tol Tapah dan Plaza Tol Juru dalam usaha memastikan liputan yang lebih meluas pada musim perayaan ini.

Selain daripada kolaborasi bersama rakan-rakan strategik ini, maklumat trafik terkini juga disalurkan menerusi papan tanda elektronik di lebuhraya, Twitter PLUSTrafik dan Aplikasi PLUS yang membolehkan pelanggan meninjau keadaan terkini di lebuhraya menerusi paparan CCTV di dalam aplikasi tersebut. – MalaysiaGazette