Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr. Zainuddin Othman menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf semalam.

KUALA LUMPUR – Di dalam setiap rezeki kita, ada juga rezeki untuk orang lain.

Atas dasar itu, syarikat pengurusan operasi tempat letak kereta berbayar, Suasa Efektif (M) Sdn Bhd menghulurkan sumbangan kepda 51 keluarga asnaf, fakir dan miskin di sekitar Selangor semalam.

Sumbangan dibuat melalui program kemasyarakatan bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan yang dinamakan Program Sumbangan Kasih Ramadan.

Dalam program itu, penyediaan dan agihan sumbangan pek makanan kepada 51 buah keluarga asnaf, fakir dan miskin yang dijalankan serentak bagi penerima di sekitar kawasan Shah Alam, Selayang, Kajang, Kuala Selangor, Sepang dan Nilai.

Program itu akan melibatkan enam kawasan pengoperasian tempat letak kereta Pihak Berkuasa Tempatan di bawah pengurusan operasi Suasa Efektif (M) Sdn Bhd. Objektif penganjuran program ini adalah untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan bagi menampung perbelanjaan keluarga sepanjang Ramadan.

Agihan sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr. Zainuddin Othman.

Turut hadir adalah Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Pentadbiran, Mohd Ismail Masri, Pengarah Eksekutif Korporat dan Pemasaran, Tengku Datuk Taha AlFashni.

Zainuddin ketika ditemui berkata, Sumbangan Kasih Ramadan kali ini mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, minyak masak, mihun, biskut, sardin, sos, kicap, garam, gula, teh dan juga minuman bercoklat.

Ketua Pegawai Eksekutif Suasa Efektif (M) Sdn Bhd, Dr. Zainuddin Othman menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf semalam.

Ianya diberikan untuk memastikan semua penerima manfaat dapat menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna.

“Program sebegini adalah sejajar dengan konsep kami iaitu berkongsi rezeki di bulan mulia di mana kami percaya setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita perlu dikongsi bersama.

“Kami komited untuk terus bersama-sama membantu golongan yang memerlukan bagi menyemarakkan bulan Ramadan pada tahun-tahun akan datang.

“Semoga dengan sedikit sumbangan ini ianya diharap dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain sumbangan berbentuk keperluan makanan, penerima juga turut diberikan sumbangan berbentuk wang perbelanjaan.

Wang perbelanjaan diharap dapat menampung perbelanjaan keperluan keluarga bagi menyambut ketibaan Aidilfitri tiba tidak lama lagi.

Untuk rekod, Suasa Efektif (M) Sdn Bhd merupakan syarikat pengurusan operasi tempat letak kereta berbayar di Shah Alam, Selayang, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Nilai. – MalaysiaGazette