JOHOR BAHRU – Hospital Pakar KPJ Puteri kini menyediakan perkhidmatan imbasan mesin 3T Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang pertama di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haliza Khalid berkata, penyediaan mesin itu seiring dengan komitmen KPJ Puteri dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik, kemudahan fasiliti tercanggih sekaligus menawarkan keselesaan buat pesakit.
Jelasnya, mesin yang dilengkapi dengan perisian 3D berupaya memberi diagnosis yang lebih tepat dan cepat kepada pesakit.
Beliau berkata, pengimbasan MRI yang jelas beresolusi tinggi dan terperinci dapat dilakukan pada organ-organ kecil seperti prostat, payudara, sendi dan sistem saraf, saraf tunjang dan tulang belakang.
“Dengan ini, masalah kesihatan pesakit boleh dikenalpasti lebih awal oleh para doktor. Ini pastinya berita baik kepada pesakit kami yang tinggal di Johor, mereka kini boleh menerima rawatan di sini tanpa perlu pergi ke Kuala Lumpur atau Singapura.
“Ia akan menjadi sangat mudah untuk datang ke Johor Bahru dan menerima penjagaan yang mereka perlukan tanpa perlu melakukan perjalanan terlalu jauh atau merentasi sempadan.
“Dengan teknologi bukaan gantry berdiameter 70 cm MAGNETOM Lumina 3T MRI dapat memberikan keselesaan dan mengurangkan perasaan claustrophobia kepada pesakit semasa imbasan dijalankan.
“Pesakit akan dibekalkan dengan muzik melalui fon kepala bagi membantu mereka untuk kekal tenang semasa proses imbasan dijalankan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pengimbasan MRI adalah kaedah untuk melihat tubuh manusia tanpa menggunakan Sinar-X dan ia tidak memberi kesan biologi sinaran beradiasi kepada manusia selain boleh digunakan untuk pesakit semua peringkat umur.
Sistem 3T MRI ini adalah teknologi terkini dalam pengimejan seluruh badan untuk pengecaman dan pencirian penyakit dalam pemeriksaan, diagnosis, perancangan pembedahan, pemantauan terapi dan susulan.
Penyediaan mesin imbasan 3T MRI bernilai hampir RM8 juta itu adalah usaha KPJ Puteri dalam melengkapkan dan menambahbaik perkhidmatan kesihatan sedia ada yang telah memberi manfaat kepada lebih 1,100 pengguna sehingga Mac lalu. – MalaysiaGazette