Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang untuk mengeluarkan kad pengesahan kepada pelarian-pelarian yang memasuki negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pengeluaran kad pengesahan serta identifikasi status pemohon suaka seharusnya dikeluarkan oleh kerajaan negara ini dan bukan pihak lain.

“Tiba-tiba (kenapa) ada pula orang lain yang membuat pendaftaran di negara kita ini?

“Saya nak maklumkan bahawa kita sedang mencari jalan untuk hanya menerima pengesahan kad yang dikeluarkan oleh agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bukan daripada mana-mana pihak yang mengaku bahawa ini adalah kad yang sah dari Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Siapa nak pastikan? Malaysia yang patut memastikan sama ada orang itu sah boleh tinggal dengan kad yang kita boleh berikan,” katanya pada sidang media selepas majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan, di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, hanya satu badan di negara ini yang boleh mendaftarkan seseorang tinggal dengan sah iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pada 23 April lalu, Hamzah berkata, kerajaan akan mengkaji semula pemberian kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada pelarian etnik Rohingya di negara ini.

Katanya, kajian perlu dilakukan susulan ratusan tahanan etnik itu yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap dekat Bandar Baharu pada minggu lalu.

Sebelum ini media turut melaporkan bahawa kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad UNHCR.

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Dalam pada itu, Hamzah yang diminta mengulas mengenai desakan penduduk di sekitar Depoh Tahanan Imigresen Sementara Relau supaya ia ditutup atas faktor keselamatan berkata, perkara itu akan dikaji.    

“Kita akan kaji semula permintaan oleh mereka yang duduk berdekatan dengan Depoh Tahanan,” ujarnya.

Pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan di Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan  melarikan diri termasuk enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pelarian di indon Aceh, Thailand, dan Bangladesh yang ada timbang rasa peri kemanusiaan lari masuk ke pangkuan politikus Pak Pandir kemaruk undi migran timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris, tetapi majoriti undi migran timah dan getah menduduki Singapore, Penang, dan tanah rizab Melayu kini tinggal 12% berbanding tanah Palestine kini tinggal 30% setelah diduduki oleh migran Yahudi walaupun dah kebas tanah Uyghur dan tanah Kashmiri. Padan muka politikus Pak Pandir mendukung biawak hidup. Kenakan cukai berniaga dan bertanah lebih tinggi kepada baka migran timah dan getah termasuk pelarian demi memperkayakan kaum pribumi seperti negara-negara sekangkang kerja Qatar, UAE, dan Kuwait. Permit kerja 3D je.

Comments are closed.