S.A Vigneswaran

KUALA LUMPUR – MIC melahirkan penghargaan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang bersetuju dengan keputusan parti komponen untuk memilih Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri untuk Pilihan Rya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, parti itu menyokong keputusan itu berikutan kepimpinan yang baik ditunjukkan Ismail Sabri dalam menangani pandemik Covid-19 dan hala tuju BN yang membawa kepada kemenangan dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

“Saya harus berterima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana begitu berjiwa besar, beliau ikut suara majoriti memilih Datuk Seri Ismail Sabri. Inilah kepimpinan yang betul dan tepat.

“Selepas ini tidak akan timbul lagi apa-apa isu berkaitan perkara ini, kadangkala saya menjadi ‘mangsa’ dalam komponen kerana apabila cuba menyampaikan sesuatu dengan perspektif betul, saya selalu sahaja dipersalahkan atau di salah tafsir,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran bersalaman bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 .

Sementara itu, Vigneswaran berkata, pertemuan beliau dengan Ahmad Zahid lebih tertumpu kepada kemenangan di Johor serta strategi-strategi bagi membolehkan BN mencapai kemenangan besar pada PRU-15.

Beliau berharap semua parti komponen di semua peringkat bekerjasama bagi mengelakkan tercetus isu selain mengelak perebutan kerusi. – MalaysiaGazette