Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Presiden di Sofitel Hotel Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 APRIL 2022.
Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Presiden di Sofitel Hotel Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 29 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – MIC sedang meneliti beberapa kerusi yang pernah ditandingi oleh Gerakan pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran menjelaskan langkah itu bagi menambahkan jumlah kerusi yang akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) kelak.

“Kita masih boleh bersama BN maka kerusi yang kita nak pilih sekarang sebab ada juga kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Gerakan dahulu sebab mereka sudah tidak ada dalam komponen BN.

“Maka kerusi itu kita sedang teliti supaya kita boleh tambahkan kemenangan kerusi Parlimen untuk MIC.

“Tak payah minta daripada UMNO, kita buat keputusanlah,” katanya dalam majlis berbuka puasa bersama Presiden MIC di sini malam ini.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan serta barisan kepimpinan MIC lain.

Awal hari ini, media melaporkan Vigneswaran memberi bayangan beliau berkemungkinan bertanding di kerusi Parlimen Sungai Siput pada PRU-15 kelak.

Pada masa yang sama, MIC juga dikatakan sedang mengintai untuk bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Sungai Siput boleh disifatkan sebagai kubu kuat MIC dan kerusi lama bekas presiden parti itu, Tun S. Samy Vellu sebelum ia ditawan oleh pembangkang pada 2008.

Selain Parlimen Sungai Siput, salah satu lagi kerusi tradisi MIC adalah Parlimen Cameron Highlands yang dipinjamkan sementara kepada UMNO.

UMNO memenangi kerusi itu pada Januari 2019 dengan meletakkan calon Orang Asli, Datuk Ramli Mohd Nor.

Pada PRU-14 lalu, Gerakan bertanding di 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN namun gagal meraih semua kerusi tersebut.

Ditanya samada BN akan menerima mana-mana parti selepas memenangi PRU-15, Vigneswaran berkata, buat masa ini BN hanya berpegang teguh kepada prinsip bertanding secara solo.

“Apa yang akan berlaku dalam masa satu dan dua bulan ini lain, pada masa sekarang BN akan bertanding di PRU-15 secara solo, selepas PRU jika ada kehendak dan menyertai BN kita terbuka kepada perbincangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast