Penduduk, Thiagesh Lingaml menunjukkan bangunan yang bakal dinaikan yang menjadi keresahan para penduduk mengenai projek rumah kondominium di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 29 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Penduduk yang tinggal di Jalan Abdullah dekat Bangsar di sini membantah sekeras-kerasnya projek pembinaan apartmen setinggi 34 tingkat yang sekarang ini dalam pembinaan.

Rata-rata mereka yang ditemui melahirkan kebimbangan terhadap projek itu kerana mendakwa ia boleh mengundang permasalahan lain disebabkan terdapat laluan air semulajadi yang wujud sejak sekian lama.

Kewujudan laluan air itu sekaligus tidak membolehkan bangunan berkenaan dibina kerana ia dibimbangi akan mengundang risiko kepada penduduk.

Penduduk juga turut mempersoal langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah menukar status tanah di kawasan berkenaan daripada ‘Perumahan Tertubuh’ kepada ‘Komersial Utama’ merangkumi nisbah zon dan plot yang tidak praktikal dan tidak logik.

Seorang penduduk, Ksharmini Thanigasalam, 52, berkata, pembinaan apartmen tersebut kemungkinan besar meninggalkan kesan buruk kepada penduduk yang telah tinggal di situ sejak turun temurun disebabkan potensi pembangunan yang tidak mampan.

Katanya, banyak lagi masalah lain akan timbul sekiranya projek itu diteruskan bukan sahaja terhadap kestabilan bangunan yang dibina di kawasan laluan air semulajadi sebaliknya keselesaan penduduk sedia ada turut terganggu ekoran mereka akan berdepan dengan masalah kesesakan lalu lintas, keselamatan dan banyak lagi.

Ksharmimi Thanigasalam

“Penduduk telah melakukan pelbagai percubaan untuk menyuarakan kebimbangan sebenar terhadap bahaya kepada keselamatan diri dan harta benda jika pembangunan gergasi seperti itu dibenarkan di kawasan laluan air semula jadi dan perkara itu telah disahkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Sebelum ini air dari laluan air semula jadi itu membentuk mata air yang berterusan di rumah nombor 4, Lengkok Abdullah dan semasa kerja pembinaan di rumah itu, air mula memancut keluar hingga menenggelamkan jentolak yang digunakan oleh kontraktor dalam masa yang singkat,” katanya pada sidag media di sini hari ini.

Perkara sama turut disuarakan Thiagesh Lingam, 52, yang mendakwa pembinaan bangunan yang tinggi di kawasan tersebut hanya akan menyebabkan berlakunya suasana tidak harmoni.

Dia mendakwa, pemaju cuba mengambil kesempatan kerana kawasan di situ mempunyai nilai hartanah yang tinggi untuk dibuat projek perumahan.

“Kita terima untuk orang luar masuk ke sini tetapi janganlah dibina bangunan setinggi 34 tingkat kerana ia boleh menjejaskan keseluruhan ekosistem di kawasan ini.

Thiagesh Lingaml

“Kita tidak bantah untuk dibuat pembangunan di kawasan ini tetapi pembinaan bangunan setinggi itu adalah tidak munasabah,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Anita Dharam, 57, berkata, dia pernah menyaksikan kejadian air semulajadi yang mengalir deras di kawasan mereka sebelum ini.

“Air itu memang mengalir sentiasa dan apa akan jadi untuk tempoh tujuh tahun akam datang, kita pun tak tahu.

“Kebimbangan kami yang kedua adalah mengenai lalu lintas…sekarang ini pun belum lagi ada projek ini jalan keluar masuk pun sudah sesak. Nanti kalau ia sudah siap dan ada pertambahan penduduk kami tidak tahu macam mana teruk kesesakaan,” katanya.

Anita Dharam

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berharap agar Datuk Bandar Kuala Lumpur dapat mengadakan perbincangan dengan beliau dan juga penduduk dalam mencari jalan penyelesaian berhubung perkara berkenaan.

Katanya, satu surat untuk diadakan perbincangan itu telah dihantar kepada pihak DBKL semalam dan hanya menunggu jawapan.

“Inilah yang berlaku apabila mesyuarat diadakan di bilik-bilik mesyuarat tanpa berpijak di bumi yang nyata…tanpa merasa jerit perih dan kepayahan penduduk yang paling terkesan dengan keadaan ini.

“Jadi harapan saya pihak DBKL bersedia bertemu berdasarkan surat yang saya hantar semalam dan memanggil semua pihak untuk kita rungkaikan.

Fahmi Fadzil

“Mungkin kita akan minta pembangunan ini ditangguhkan dulu biar kita teliti, tapi jangan tak selesai isu JMG ini,” katanya. – MalaysiaGazette