Onn Hafiz melawat salah sebuah gerai pada majlis  pelancaran Program Jualan Semarak Syawal Peringkat Negeri Johor di Jalan Datin Halimah di Johor Bahru, Johor

JOHOR BAHRU – Penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Singapura merupakan antara faktor Johor menjadi pilihan warga negara republik itu berbelanja di negeri ini.

Menteri Besar,  Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, berikutan itu sektor ekonomi negeri khususnya yang membabitkan peniaga dan pengusaha kecil menerima impak positif daripada penyusutan ringgit setelah dua tahun bertahan berikutan pandemik Covid-19. 

“Kebiasaannya disebabkan ia (ringgit) lebih murah kepada mereka, memang akan menarik untuk mereka terus berbelanja di sini (Johor) yang mana kuasa beli mereka juga menjadi lebih tinggi.

“Itu tidak mengapa, yang penting peniaga di Johor. Dalam konteks itu (matawang rendah) ia adalah baik kepada mereka, kerana lebih ramai orang mahu berbelanja di Johor.

“Tetapi saya berpandangan isu inflasi dan kadar matawang ini hanyalah sementara sahaja, kita doakan supaya perkara ini tidak berpanjangan,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Semarak Syawal Peringkat Negeri Johor di Pasar Tani Jalan Datin Halimah di sini, hari ini.

Dolar Singapura berada pada paras tinggi berbanding ringgit selepas Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memutuskan untuk membenarkan peningkatan kadar pertukaran efektif nominal mata wang itu sebagai petunjuk pengetatan dasar monetarinya.

Semalam ringgit ditutup pada kadar RM3.14 berbanding S$1.

Sementara itu, Onn ketika diminta mengulas mengenai ekonomi Johor susulan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura sejak 1 April lalu berkata, terdapat perubahan ketara yang positif dalam tempoh tersebut.

“Kalau kita tengok bandar Johor Bahru ini, dia punya kesesakan sebenarnya adalah tanda positif positif kepada ekonomi. Jadi kita mengalu-alukan sebab ramai peniaga di Johor yang sebelum ini terkesan akhirnya mendapat rezeki.

“Pembukaan (sempadan) juga kebetulan begitu hampir dengan hari raya. Jadi ramai orang Singapura datang ke negeri ini untuk berbelanja,” ujarnya. – MalaysiaGazette