Brad Maloney

KUALA LUMPUR – Skuad muda Harimau Malaya perlu bangkit selepas tewas 1-2 di tangan pasukan Timor Leste Bawah 23 tahun (B-23) dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier-2 secara tertutup tanpa penonton di Stadium UiTM, Shah Alam semalam.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya B-23, Brad Maloney menuntut supaya anak buahnya menjadikan  kekalahan tersebut sebagai satu titik kebangkitan dalam perlawanan akan datang.

“Sebagai jurulatih, sudah pasti saya kecewa dengan kekalahan di tangan Timor Leste B-23 tetapi kami perlu proaktif dan selidik dengan segera berhubung kekurangan atau kelemahan pasukan kita.

“Keputusan semalam seharusnya dijadikan medan kebangkitan dan saya kekal optimis pasukan muda negara ini masih memiliki potensi di mana kekalahan itu kami harus cepat dalam memberikan respon untuk persembahan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Dalam aksi itu, pasukan pelawat berjaya mendahului hasil jaringan Elias Joao Da Costa pada minit ke-51 sebelum Faiz Amer Runnizar menyamakan kedudukan buat skuad negara pada minit ke-66.

Namun Timor Leste B-23 melengkapkan kemenangan apabila Jhon Frith Ornai meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-77.

Selepas aksi bertemu Timor Leste B-23, skuad muda Harimau Malaya bakal bertemu pasukan Filipina B-23 dalam perlawanan antarabangsa secara tertutup tanpa penonton di Stadium UiTM, Shah Alam esok sebelum berlepas ke Vietnam pada 4 Mei depan bagi menghadapi temasya Sukan SEA 2021.

Sementara itu, 20 pemain melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan B-23, semalam termasuk muka baharu iaitu Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar dan Muhammad Safwan Mazlan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast