Madad membina masjid yang akan beroperasi 24 jam sebagai pusat sehenti, lengkap dengan 20 kapsul hotel dan bilik keluarga percuma.

SUNGAI PETANI – Murtadha Dakwah Centre (Madad) atau dahulunya dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha kini rancak membina masjid yang akan beroperasi 24 jam di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, masjid bernilai RM6.3 juta itu akan menjadi pusat sehenti di mana lengkap dengan 20 kapsul hotel dan bilik keluarga percuma.

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan itu boleh dikunjungi semua orang termasuk musafir yang ingin berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Katanya, tujuan masjid itu beroperasi 24 jam kerana tidak mahu menutup rumah Allah SWT itu untuk meraikan sirah Nabi Muhammad SAW yang membina Masjid Nabawi sebagai pusat sehenti bagi golongan miskin, anak yatim piatu serta musafir.

“Masjid ini juga mempunyai keunikan sendiri di mana reka bentuknya melawan arus daripada reka bentuk masjid yang ada di negara ini kerana tidak mempunyai kubah dan diinspirasikan daripada Masjid Cologne di Jerman yang saya kunjungi pada 2019.

“Saya tidak mengatakan masjid yang berkubah itu tidak bagus tetapi di Madad mementingkan fungsi serta praktikaliti dan bukan hanya mahu ia kelihatan cantik sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan media selepas majlis pelancaran ‘Ramadan Bersama Ekonomi Kita’ di Madad di Kampung Teluk, Sungai Layar di sini baru-baru ini.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof.

Mohammad Yaakub mengakui pembinaan kubah di masjid akan menelan perbelanjaan besar manakala penyelenggaraannya boleh mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Namun pihaknya berpendapat, peruntukan itu lebih wajar digunakan untuk pembangunan yang lebih memberi manfaat kepada pusat dakwah berkenaan.

Beliau memberitahu, masjid itu turut menemparkan kemudahan warga emas yang disediakan percuma lengkap dengan penjagaan kesihatan, pemakanan dan lain-lain.

“Warga emas yang menetap di pusat itu hanya dikenakan syarat seperti menjadi jemaah tetap di masjid, wajib menghadiri kuliah atau pengajian yang dianjurkan masjid serta membantu dalam pengurusan jenazah.

“Di dalam masjid berkenaan terdapat ruang khas pengurusan jenazah khusus bagi penduduk yang tidak berkemampuan dalam menguruskan jenazah ahli keluarga.

“Sekarang banyak kes jenazah yang tidak dituntut kerana keluarga tidak mampu untuk menguruskannya, berikutan kos pengurusan jenazah yang agak tinggi. Justeru, di Madad kita melakukannya secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Madad bakal muncul sebuah pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta.

Pusat komuniti yang dibangunkan di kawasan seluas tiga hektar sejak 2018 itu  kini memasuki fasa kedua pembinaannya dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2025.

Selain masjid, pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan pusat tahfiz integrasi dan pusat pengurusan jenazah, rumah warga emas, stadium e-sports, hub sukan sunah seperti memanah, berenang, berkuda serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah. – MalaysiaGazette