Dikatakan hampir dua juta kenderaan berada di jalan raya dan lebuh raya.

MALAM tadi adalah waktu paling kemuncak bagi jutaan perantau dari Kelantan yang berada di ibu kota merempuh kesesakan jalan raya untuk pulang kampung halaman masing-masing.

Walaupun ada yang merancang bertolak pagi kerana menjangkakan jalan tidak sesak, ada yang bertolak tengah hari kerana beranggapan perjalanan lancar dan tidak kurang juga yang bertolak petang serta malam dengan berprasangka yang sama, itu semua hanya sekadar jangkaan semata-mata.

Hakikatnya, semalam jugalah bermulanya episod kesesakan kepada segala kesesakan yang menyaksikan kenderaan bergerak seperti siput meniti dahan kayu.

Walaupun jaraknya sejengkal, masa diambil sangatlah lama.

Pada Bawah Kolong (Bee Kay), fenomena seperti itu dah biasa. Bee Kay sudah lali dan kalih dengan keadaan itu, yang berlaku setiap kali musim perayaan. Tak kira raya Cina, raya Kristian mahu pun raya umat Islam.

Cuma kemuncak kesesakan ialah pada musim raya umat Islam, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Ditambah lagi, sudah dua kali raya Aidilfitri perantau ‘dikurung’ di perantauan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari awal tahun 2020 sampai akhir 2021.

Dalam tempoh itu, rakyat dilarang bergerak atau berada di jalan raya bagi melancarkan pelaksanaan sekatan daerah dan negeri. Semuanya kerana nak kekang koronavirus dari merebak.

Zaman Mahiadin perdana menteri, macam-macam cara dan kaedah dilakukan termasuklah ikhtiar terakhirnya darurat.

Malangnya, dalam darurat pun, kes makin bertambah. Sepatutnya kalau sudah darurat, kes makin turun sebab orang ramai berkurung dalam rumah.

Tetapi, entah celah mana datangnya Covid-19 ni sampaikan cecah puluhan ribu sehari direkodkan sepanjang darurat. Itu Bee Kay tak mahu ulas panjang, biarlah Mahiadin jawabnya nanti.

Sekurang-kurangnya dalam waktu puncak begini, selepas berada antara 10 hingga 13 jam di jalan raya, baharulah boleh nampak bayang kampung atau rumah. Maka tercapailah impian nak cium tangan mak dan ayah.

Kesimpulan kepada kesesakan ini, ada satu cadangan dari Bee Kay nak kemukakan kepada kerajaan terutama Menteri Pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong.

Cubalah kaji semula operasi lori dan treler di jalan raya mahu pun lebuh raya setiap kali musim perayaan kerana kehadiran kenderaan berat ini penyumbang kepada kesesakan.

Kehadiran lori dan treler diwaktu puncak menyumbangkan lagi kesesakan di lebuh raya.

Mereka mengganggu kelancaran perjalanan pulang perantau ke kampung.

Kerajaan boleh saja arahkan syarikat pengangkutan menggandakan operasi penghantaran barangan ke negeri-negeri ditingkatkan di luar hari perantau bergerak pulang.

Contohnya, 10 hari sebelum raya, pergerakan kenderaan berat boleh digandakan dan berhenti pada hari kelima nak raya.

Kena sistematiklah daripada segi peraturan kementerian kepada syarikat pengangkutan, supaya dua-duanya ‘menang-menang’.

Janganlah seksa perantau. Janganlah susahkan perantau. Berilah keadilan kepada perantau untuk gunakan jalan raya dan lebuh raya dengan lancar dan selamat.

Mengikut pengalaman Bee Kay yang berbelas tahun berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kelantan, kehadiran lori dan treler ini sebenarnya penyebab kepada kesesakan lalu lintas.

Bayangkan, berjam-jam kita bergerak perlahan di belakang lori atau treler yang bergerak seperti siput.

Kalau macam ini berterusan, perjalanan pulang yang sepatutnya lima jam akan mengambil masa 10 hingga 15 jam.

Menteri Pengangkutan kena ambil kira ini semua. Jangan pula setiap tahun cakap kerajaan pening dengan kesesakan jalan raya yang tidak pernah selesai setiap kali tiba musim perayaan.

Nak selesai macam mana kalau masalah pokok ini tidak diatasi.

Selain itu, ada satu jenis lagi penyumbang kepada kesesakan, iaitu sikap pemandu kereta yang pentingkan diri sendiri. Mereka memandu dengan kelajuan lori atau treler.

Mereka langsung tidak pedulikan ratusan, malah ribuan kenderaan bersusun-susun di belakang.

Pemandu seperti ini, kalau Bee Kay ni penguat kuasa JPJ atau polis trafik, Bee Kay akan arah berhenti di bahu jalan. Biar dia ‘berehat’ untuk tempoh tertentu sehingga kenderaan di belakangnya bergerak lancar.

Pemandu seperti ini patut dihukum sebegitu. Mereka bukan mahu pulang beraya di kampung pun, mereka sekadar nak makan angin di jalan raya. Biarlah orang lain susah, asalkan hati mereka senang.

Pemandu macam ini memang tak patut berada di jalan raya. Kalau berselisih dengannya patut dihimpit supaya dia bergerak di bahu jalan.

Selain dua faktor itu, ada satu perkara lagi yang Bee Kay minta, iaitu percepatkanlah siapkan lebuh raya Gua Musang-Kota Bharu. Dah bertahun-tahun projek tertangguh. Entah bila akan siapnya.

Sekarang ini perantau terpaksa menumpang lebuh raya negeri orang, iaitu Pahang untuk balik kampung. Perantau tidak pernah merasai ada lebuh raya sendiri.

Anehnya, kalau projek lebuh raya ke negeri lain, cepat pula siapnya. Jangka tiga tahun, masuk tahun kedua dah siap. Asalkan Kelantan, jangka lima tahun, 10 tahun belum tentu siap.

Entah kenapa, asalkan projek masuk ke Kelantan, terus lembab, perlahan dan tertangguh-tangguh. Apa punya sial. – MalaysiaGazette