Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus sumber manusia syarikat swasta kerugian RM132,900 kepada sindiket penipuan Macau Scam selepas terjerat dengan panggilan ‘Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Hishak berkata, wanita berusia 47 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku sebagai Pegawai KKM di Bahagian Pemeriksaan Bekalan Ubatan.

“Mangsa diminta oleh suspek untuk mengesahkan sama ada pernah mengambil ubat-ubatan seperti ubat panadol, ubat tahan sakit, ubat batuk dan ubat selesema secara berlebihan di sebuah klinik komuniti.

“Mangsa menafikannya dan panggilan kemudiannya telah disambungkan kepada seorang lelaki lain yang menyamar sebagai pegawai polis yang memaklumkan mangsa juga terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

“Mangsa telah ditakutkan oleh suspek sekiranya tidak mengaku kesalahan tersebut waran tangkap akan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat panik dengan ugutan suspek itu, mangsa telah segera membuat pindahan wang sebanyak lima kali ke dalam satu akaun yang sama seperti dikehendaki oleh suspek tersebut bermula dari 22 hingga 26 April lalu membabitkan wang berjumlah keseluruhan RM132,900.

Malah, mangsa juga telah diminta oleh suspek agar menunggu keputusan hasil siasatan tersebut.

Namun, katanya, pada 30 April lalu mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon daripada suspek sindiket sama dan diminta untuk membuat bayaran tambahan.

“Menyedari dirinya tertipu dengan sindiket Macayu Scam itu, mangsa telah tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mahidisham menasihatkan orang ramai supaya jangan panik jika terima panggilan daripada pihak berkuasa.

“Ingat bahawa agensi penguatkuasa tidak dapat transfer call ke agensi lain dalam masa yang sama dan polis tidak akan menghubungi sesiapa dan menggertak untuk membuat tangkapan terhadap seseorang.

“Dalam keadaan begitu, jangan sesekali panik dan memasukkan wang ke dalam akaun individu yang tidak dikenali,” tambahnya.

Menurut beliau, setiap urusan kerajaan adalah di pejabat agensi kerajaan dan anda boleh menyemak akaun bank atau nombor telefon yang diragui melalui laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule. – MalaysiaGazette