NEW YORK – Harga minyak naik mendadak pada hari Rabu selepas Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan rancangan untuk menghentikan minyak Rusia secara berperingkat-peringkat, sekali gus mencetuskan kebimbangan bekalan yang ketat.

West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Jun menokok AS$5.4 atau 5.3 peratus, untuk ditutup kepada AS$107.81 dolar setong di New York Mercantile Exchange.

Minyak mentah Brent untuk penghantaran Julai meningkat AS$5.17 atau 4.9 peratus untuk ditutup kepada AS$110.14 di Bursa Hadapan ICE London.

Pada hari Rabu, Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata, EU akan menghentikan secara berperingkat-peringkat bekalan minyak mentah Rusia dalam tempoh enam bulan dan produk ditapis menjelang akhir tahun.

Pelan itu adalah sebahagian daripada pakej keenam sekatan yang mensasarkan Moscow ekoran operasi ketenteraannya di Ukraine.

Negara-negara EU mengimport secara purata 3.5 juta tong minyak mentah dan produk minyak setiap hari dari Rusia pada suku keempat 2021, kata Carsten Fritsch, penganalisis tenaga di Commerzbank Research, memetik data daripada Agensi Tenaga Antarabangsa.

“Kuantiti ini kini perlu diperoleh dari tempat lain di pasaran yang berkemungkinan akan mengetatkan bekalan jika semua perkara lain kekal sama dan seterusnya akan menaikkan harga,” tambahnya. Xinhua (https://english.news.cn/20220505/e50d07c61ea944e39f58df0211c7c1da/c.html)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast