Tangkap layar menunjukkan pemandu Saga FLX memandu secara berbahaya dengan memotong garisan berkembar di di Kilometer 17 Jalan Beruas-Parit-Ipoh, Perak.

IPOH – Polis menahan seorang lelaki yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Kilometer 17 Jalan Beruas-Parit-Ipoh berhampiran Pekan Parit di sini semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 23 tahun itu ditahan jam 10.30 malam di Pusing, Batu Gajah di sini selepas video aksi memandunya itu tular di media sosial.

Jelas beliau, pihaknya mengesan video tular terbabit jam 9.35 malam semalam yang memaparkan kereta Proton Saga FLX memotong barisan di garisan berkembar.

“Tindakan pemandu berkenaan boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Susulan itu, anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Perak berjaya mengesan suspek di Pusing, Batu Gajah sebelum menahannya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, hasil siasatan suspek mengaku memandu kereta terbabit pada jam 3.40 petang semalam seperti dalam rakaman yang ditularkan.

“Suspek ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan dan menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

“Pihak polis turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat dan kerjasama dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara,” ujar Mior Faridalathrash. – MalaysiaGazette