Seorang awak-awak warganegara Thailand dipercayai lemas selepas terjatuh dari bot nelayan ke dalam Sungai Kuantan semalam.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi selamat selepas mereka dihanyutkan arus semasa mandi di kawasan rekreasi Pasir Puteri, Sungai Lembing, Pahang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa Amirun Mohamad, 14, dari Jabor, Terengganu difahamkan ke lokasi kejadian bersama ahli keluarganya sekitar 2 petang untuk berkelah.

“Mangsa didakwa turun mandi bersama tiga ahli keluarga sebelum mereka didakwa dihanyutkan arus deras ke tempat dalam kira-kira pukul 2.30 petang.

“Orang awam yang berada di lokasi cuba untuk membantu, namun hanya dapat menyelamatkan tiga remaja manakala Amirun terus dihanyutkan ke bahagian hilir sungai dan gagal dilihat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata, mangsa yang selamat ialah abang mangsa, Mohamad Azri, 17, dan dua sepupunya iaitu Amaluddin Ismail, 13, serta Mohamad Khalid Yusof, 16, kedua-duanya dari daerah ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari balai Kuantan dan Pekan yang menggunakan teknik selaman bagi mencari mangsa. – Bernama