Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), melaksanakan pemeriksaan bas sempena Ops Musim Hari Raya di Terminal Bas Genting Highland, Pahang. Foto MUHD NA'IM, 06 MEI 2022.

GENTING HIGHLANDS – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 8,936 saman sepanjang Operasi Hari Raya Aidilfitri yang diadakan sejak 29 April lalu sehingga semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 44,737 kenderaan telah diperiksa di 77 depot dan 28 terminal-terminal bas di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, sepanjang pemeriksaan itu, terdapat 3 kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh dadah dan tindakan menggantung lesen mereka telah diambil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Operasi Khas pemeriksaan di Terminal Bas Awana, di sini.

Menurutnya, operasi ini bagi memastikan kenderaan pengangkutan awam sentiasa dalam keadaan selamat terutamanya ketika melakukan perjalanan melalui laluan berbukit tinggi, curam dan berselekoh.

Lokman Jamaan

”Pemeriksaan khusus dijalankan kerana laluan ini amat berbahaya bagi penumpang-penumpang bas dan kenderaan awam yang lain.

”Kenderaan mereka perlu ada brek kedua kerana laluan-laluan ini adalah laluan-laluan yang memerlukan brek yang betul-betul terbaik bagi memastikan keselamatan,” katanya.

Selain brek kedua, JPJ turut membuat pemeriksaan dari segi tayar kenderaan, pemantul cahaya dan lain-lain yang dikategorikan sebagai keperluan, mengambil kira keadaan kabus di Genting Highland yang menghadkan penglihatan dan boleh mengakibatkan pandangan kabur.

Dalam pada itu, katanya, tindakan juga telah diambil terhadap 27 buah kenderaan sepanjang operasi kerana melanggar perintah larangan berada di atas jalan raya sepanjang Hari Raya.

Lokman berkata, walaupun penguatkuasaan tegas diambil bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin, JPJ masih tidak berpuas hati berikutan terdapat kes kemalangan maut yang dilaporkan.

Lokman Jamaan meninjau pemeriksaan bas ekspres sempena Ops Musim Hari Raya di Terminal Bas Genting Highland, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 06 MEI 2022.

“Berdasarkan statistik PDRM, terdapat 113 kes diseluruh negara yang mengakibatkan kes kemalangan maut.

“Diharapkan jumlah kes ini tidak lagi bertambah pada ketika semua pulang ke tempat kerja masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini, tiada kemalangan yang melibatkan mana-mana pengangkutan awam terutamanya bas ekspres dan bas persiaran dilaporkan.

Lokman turut berterima kasih juga kepada semua pengguna jalan raya terutamanya kepada orang awam yang tampil membuat aduan kepada JPJ mengenai salah laku pengguna jalan raya.

“Sebanyak 218 aduan yang diterima JPJ melalui e-aduan berhubung salah laku atas jalan raya dan telah diambil tindakan segera sama ada memanggil mereka untuk menjalankan pemeriksaan lanjut atau peronda kami terus membuat tahanan di tempat kejadian,” katanya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berbual dengan penumpang ketika menyertai pemeriksaan bas sempena Ops Musim Hari Raya di Terminal Bas Genting Highland, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 06 MEI 2022.

Mengulas lanjut, katanya, aduan yang paling banyak diterima adalah kesalahan memandu di lorong kecemasan (78) dan memotong barisan (54) yang diambil tindakan serta-merta melalui Unit Peronda Bermotosikal sejurus aduan diterima.

Tambahnya, daripada kesemua kes yang dilaporkan itu, 35 kes telah selesai diambil tindakan.

Lokman memaklumkan operasi khas penguatkuasaan ke atas bas ekspress dan bas persiaran akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam ke arah peningkatan keselamatan, kualiti, kebolehrapan perkhidmatan kepada orang ramai sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette