Datuk Seri Ismail Sabri meraikan tetamu yang bertongkat hadir dikenali Sou Fi Ah, 60 tahun ke Majlis Adilifitri Parlimen Bera di Bera, Pahang.

BERA – Rumah terbuka Aidilfitri Parlimen Bera yang dianjurkan Perdana Menteri hari ini, dikunjungi kira-kira 40,000 tetamu terdiri daripada pelbagai kaum.

Majlis yang diadakan di Laman Kerayong, Bera, Pahang itu bermula jam 9 pagi tadi dan dijangka tamat jam 4 petang nanti.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bera telah menjadi kelaziman beliau sejak 2004 lagi.

Bagaimanapun, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua tahun, majlis berkenaan tidak dapat diadakan.

Bercakap kepada pemberita pada majlis berkenaan, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bera itu mengucapkan setinggi penghargaan kepada Keluarga Malaysia yang sudi menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau.

Tambah beliau, apa yang lebih istimewa, semua juadah dan makanan yang dihidangkan kepada tetamu disediakan oleh penduduk setiap kampung di daerah Bera.

Sebanyak 32 gerai dengan 41 menu hari raya dihidangkan kepada tetamu.

Rumah Terbuka Aidilfitri itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Abdul Rahman Mohamad. – MalaysiaGazette