Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Inflasi yang berlaku berikutan kenaikan harga barangan dijangka “dirasai” di Malaysia pada pertengahan Mei dengan kesan paling langsung adalah kuasa beli menjadi lemah.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosio Ekonomi (SERC), Lee Heng Guie berkata, walaupun kadar inflasi negara berlegar sekitar dua hingga tiga peratus iaitu lebih rendah berbanding sesetengah negara maju yang mencecah lapan peratus, tetapi terdapat faktor tidak menentu dalam keadaan Malaysia.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku susulan subsidi tinggi yang diberikan kerajaan termasuk hampir RM30 bilion untuk subsidi minyak.

“Apabila kerajaan sudah tidak mampu memberi subsidi, maka gelombang kenaikan harga mungkin berlaku,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, fenomena beli-belah yang meriah semasa Aidilfitri tidak menggambarkan keadaan kuasa beli sebenar.

Katanya, kemeriahan itu mempunyai kaitan dengan pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membolehkan orang ramai mempunyai duit belanja yang lebih.

“Selepas ini, kami boleh menilai sama ada tabiat membeli orang ramai akan menjadi lebih cermat dan sama ada kuasa beli sedia ada akan dikekalkan. Saya menjangkakan kesannya akan mula kelihatan mulai pertengahan Mei,” katanya.

Sementara itu, Datuk Chua Tia Guan daripada Asia Business Centre Malaysia berkata, penganalisis pasaran masih memantau kesan pelaksanaan gaji minimum baharu mulai 1 Mei ke atas kuasa beli di pasaran.

“Saya tidak pasti sama ada penyelarasan gaji minimum akan mengeruhkan inflasi kerana penyelarasan daripada RM1,200 kepada RM1,500 adalah agak tinggi iaitu pada kadar 25 hingga 35 peratus.

“Sekiranya peniaga tidak dapat menanggung tambahan kos pekerja ini, mereka akan mengalihkan kos kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, pemulihan ekonomi Malaysia bukan hanya berdepan isu inflasi, tetapi terdapat banyak faktor rumit yang lain termasuk tindakan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah.

“Kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat akan menyebabkan modal beralih semula ke negara itu dan menyebabkan ringgit berdepan tekanan,” katanya. – MalaysiaGazette