Sebuah pikap mengalami kerosakan di bahagian hadapan setelah bertembung dengan sebuah motosikal di kilometer 25, Jalan Lipis-Benta, Pahang.

KUANTAN – Seorang lelaki warga Bangladesh maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah pikap dalam kejadian di kilometer 25, Jalan Lipis-Benta, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa Hosen Ismail, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan patah kaki dalam insiden tersebut.

Menurut Azli, pemandu dan penumpang pikap itu tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada 6 Mei 2022 lebih kurang 8.45 malam, di mana mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Benta hendak ke Raub.

“Apabila sampai di tempat kejadian, penunggang motosikal telah keluar simpang ke Raub tanpa berhenti terlebih dahulu lalu bertembung berhadapan dengan sebuah trak pikap dari arah Raub ke Lipis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Hasil pemeriksaan medapati motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan manakala pikap mengalami kerosakan di bahagian hadapan melibatkan bonet hadapan kemek, bumper dan cermin hadapan pecah akibat nahas, ujarnya.

Menurut Azli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis dan proses bedah siasat sejurus ujian calitan Covid-19 diperoleh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, katanya. – MalaysiaGazette