Ibu bapa membantu anak mereka membawa beg dan barang semasa memasuki kolej kediaman selepas pulang dari cuti perayaan Aidilfitri ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kolej Mawar UiTM Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 08 MEI 2022.

SHAH ALAM – Setelah seminggu pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam gembira dapat kembali ke kampus hari ini tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti sebelum ini.

Walaupun negara sudah melangkah fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun bergelut memerangi pandemik COVID-19, namun mereka perlu berwaspada dan berhati-hati bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Kolej Mawar, UiTM Shah Alam mendapati rata-rata pelajar yang hadir untuk mendaftar kolej serta pulang ke kampus masih mengekalkan pemakaian pelitup muka walaupun kerajaan sudah melonggar SOP berkenaan.

Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mawar, Arifah Syazana Shawaluddin berkata, walaupun kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan namun ujian RTK-Antiten (Ag) masih perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pulang ke kampus.

Arifah Syazana Shawaluddin,
Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Kolej Mawar UITM Shah Alam.

“Walaupun tiada lagi keperluan untuk melakukan imbas MySejahtera tetapi saya puji penghuni di Kolej Mawar ini masih datang dengan memakai pelitup muka kerana langkah itu bagi menjaga keselamatan antara satu sama lain.

“Jawatankuasa perwakilan pelajar (JKP) di sini turut sarankan kepada pelajar sebelum pulang atau datang ke kampus, mereka perlu buat  ujian saringan dahulu di rumah dan bawa keputusan itu untuk daftar masuk. Jika satu line kita benarkan masuk, jika positif akan diasingkan.

“Kalau pelajar tidak bawa keputusan ujian kita arahkan mereka buat on the spot juga. Ini sebagai langkah awal kita untuk mengelakkan mereka yang positif ini menjangkiti pelajar  lain di sini,” katanya selepas memantau pelajar pulang ke kampus, hari ini.

Tambahnya lagi, sejak pukul 8 pagi tadi, lebih 400 pelajar Fasa Dua telah mendaftar masuk ke Kolej Mawar manakala lebih 300 pelajar Fasa Satu pula sudah pulang ke kampus bagi memulakan pengajian mereka esok.

Nur Maziah Abdul Malik

Sementara itu, Nur Maziah Abdul Malik, 22, berasal dari Sungai Petani, Kedah berkata, dia amat sedih kerana perlu pulang ke kampus lebih awal namun dia berasa lega kerana pematuhan SOP kali ini tidak ketat dan tidak perlu tergesa -gesa seperti sebelum ini.

“Saya dari Sungai Petani sejak semalam lagi pukul 11.30 malam tapi kami ada singgah rumah saudara dulu. Saya memilih balik hari ini sebab esok sudah kelas.

“Dari segi SOP saya kira bagus memudahkan tapi kami kena jagalah sebab ada kemasukkan pelajar Fasa Dua di sini. Kami juag disarankan untuk buat ujian RTK-Antiten (Ag) terlebih awal sebagai persediaan untuk mengelak dari dijangkiti pelajar lain,” ujarnya.

Nurul Amirah Salim

Nurul Amirah Salim, 23, pelajar semester tiga berkata, dia berasa teruja kerana dapat menikmati suasana kampus berbanding belajar di rumah seperti sebelum ini dan kelonggaran SOP yang dilaksanakan juga memudahkan pelajar.

“Dari segi kelonggaran SOP di fasa endemik ini memang memudahkan sangat, kita tidak perlu lagi imbas MySejahtera dan tidak perlu lagi beratur panjang buat RT-PCR seperti sebelum ini kalau nak masuk asrama.

“Kita juga tidak perlu lagi nak tergesa-gesa kemas barang untuk balik ke kampus, jadi saya rasa selesa untuk pilih balik kampus hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast