Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga tidak menentu berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan, seiring dengan prestasi mata wang negara pesat membangun lainnya.

Malah, ketidaktentuan urus niaga mata wang itu juga diunjur dipengaruhi oleh langkah monetari Rizab Persekutuan AS yang lebih ketat selain dasar monetari di negara utama lain seperti China dan Jepun yang menumpukan dasar akomodatif bagi menghidupkan semula ekonomi masing-masing.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS lebih menjadi pilihan utama dengan kadar pulangannya dilihat jauh lebih menarik menjelang akhir tahun ini.

“Pada masa ini, paras sokongan bagi ringgit berbanding dolar AS pada RM4.3420 manakala paras rintangan pada RM4.4490,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata dolar-ringgit dijangka susut dalam dagangan minggu depan dengan semua pihak akan menumpukan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) pada 10-11 Mei untuk mendapatkan penilaian ekonomi terkini serta keputusan berkaitan kadar dasar semalaman (OPR).

“Data Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku pertama akan diumumkan pada Jumaat depan. Oleh itu, banyak data di peringkat domestik yang akan menjadi perhatian,” katanya.

BNM juga dijangka akan mengekalkan OPR tersebut pada 1.75 peratus.

Bagi asas mingguan, ringgit susut berbanding dolar AS pada 4.3650/3680 hari ini berbanding 4.3520/3570 pada seminggu sebelumnya.

Ringgit bagaimanapun diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1523/1549 daripada 3.1543/1584 seminggu sebelumnya dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3868/3905 daripada 5.4652/4715 minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.3453/3479 daripada 3.3392/3433 dan rendah berbanding euro kepada 4.6138/6170 daripada 4.6018/6071 sebelum ini. – MalaysiaGazette