Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kes buli doktor pelatih mesti ditangani dengan menyeluruh kerana ia kerap kali dilaporkan pihak media secara terbuka sebelum ini, malangnya tiada penyelesaian tuntas dapat diketengahkan bagi membendung perkara ini.

Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, risiko Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dalam sektor kesihatan adalah sangat kompleks dan berpunca sekurang-kurangnya daripada dua elemen.

Pertama adalah keletihan disebabkan tekanan mental yang tinggi dan tempoh pekerjaan yang lama mengambil kira tekanan serta keletihan ini adalah lebih tinggi sejak tahun 2020 kerana pandemik Covid-19.

Keduanya, masalah yang datang daripada suasana dan budaya kerja buli seperti yang didakwa pelbagai pihak, yang mana doktor atau doktor muda akan menerima tekanan mental yang berupaya menghasilkan bahaya psikososial di dalam diri doktor dan rakan sekerja.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua bahaya ini perlu ditangani secara bersama atau pakej dan bukan berasingan mahupun bermusim.

“KKP di dalam sektor kesihatan awam adalah sangat mustahak, lebih-lebih lagi di waktu negara masih lagi berhadapan dengan ancaman wabak dan krisis kesihatan.

”Keletihan petugas kesihatan, terutama doktor muda yang hangat diperkatakan kini sehingga wujud ancaman bunuh diri bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi lebih malang jika ia mampu mewujudkan kesalahan dalam menjalankan tugas mereka sebagai perawat yang sedang merawat pesakit.

”Kualiti perkhidmatan kesihatan akan merosot sekali gus memberi kesan kepada keyakinan rakyat kepada penyampaian perkhidmatan sektor awam jika tidak ditangani dengan segera.

”Petugas kesihatan akan kehilangan moral untuk bekerja dan menjejaskan sistem penyampaian kesihatan kita. Kesan limpahan ini sangat serius jika kita masih berlengah untuk “overhaul” KKP di dalam sektor kesihatan awam,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shawaluddin berkata, dalam garis panduan Jabatan KPP Malaysia (DOSH) pula dengan jelas menyebutkan antara bentuk angguan/keganasan/deraan di tempat kerja adalah gangguan psikologi.

Gangguan psikologi terdiri daripada kelakuan menindas melalui percubaan jenis berdendam, kejam atau jahat untuk mengaibkan atau merosakkan imej/kedudukan/martabat seseorang pekerja termasuk dengan kritikan negatif yang berterusan dan tidak wajar.

Deraan melalui pembulian juga ditafsirkan sebagai kelakuan yang menyimpang daripada perilaku wajar melibatkan salah guna kekuatan fizikal atau psikologi.

Oleh itu, MSOSH mencadangkan agar DOSH meneliti semula garis panduan ini sama ada ia masih boleh berfungsi dengan baik, atau perlu wujud lebih banyak penegasan khusus untuk membendung kejadian-kejadian buli di tempat kerja.

Malah, KKM juga perlu serius untuk mengekalkan kualiti perkhidmatan petugas kesihatan awam, elemen kebajikan serta KKP pekerja perlu diteliti dan dimasukkan di dalam kertas putih yang akan dibentangkan di Parlimen bagi menambah baik perkhidmatan KKM kepada pelanggan, skop tugasan dan kebajikan warganya.

”Keutamaan terhadap pengenalan, penilaian dan kawalan risiko (HIRARC) mesti diberikan kepada golongan doktor baharu disebabkan penilaian HIRARC kepada golongan ini telah melibatkan risiko kehilangan nyawa melalui pemikiran bunuh diri

”Sekiranya cadangan ini diambil kira, kertas putih yang bakal dibentangkan mampu membuka jalan ke arah penyelesaian yang lebih jitu kepada permasalahan ini,” ujarnya lagi.

Selain itu, Malaysia mempunyai pelbagai pakar baik individu mahupun organisasi terlatih di dalam sektor KKP termasuk MSOSH yang telah bertapak lebih daripada 50 tahun di dalam negara.

KKM boleh menggembleng tenaga bersama persatuan-persatuan ini bagi mencari titik penyelesaian untuk membantu bidang kesihatan awam.

Antara kepakaran yang boleh disalurkan adalah “root cause analysis” untuk penyiasatan insiden-insiden terbabit dan kemudian membuat syor-syor langkah kawalan bersesuaian untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang dengan mengambil kira batas-batas dalam aspek perundangan. – MalaysiaGazette