Mohd Rizduan Ibrahim
Mohd Rizduan Ibrahim

PASIR MAS – Kerajaan Pas Kelantan perlu bersikap jujur bahawa mereka gagal dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih kepada rakyatnya sejak memerintah negeri itu pada tahun 1990.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Pasir Mas, Mohd Rizduan Ibrahim berkata, sudah sampai masanya kerajaan negeri memohon maaf kepada rakyat atas kegagalan yang berlarutan sejak sekian lama .

“Tidak dinafikan masalah pengurusan air juga dialami negeri lain, tetapi bukanlah berlaku sepanjang masa dan saban hari.

“Kenapa masalah ini terus berlaku di Kelantan? Cukupkah dengan memberi alasan demi alasan untuk menutup kelemahan kepada rakyat dengan pusing sana pusing sini?

“Bersikap jujurlah kepada rakyat bahawa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub dan timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah telah gagal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, Mohd Amar dalam kenyataannya mendakwa punca masalah air berpanjangan berlaku di negeri itu disebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Malah, beliau meletakkan harapan yang tidak masuk akal dengan memerlukan masa selama 30 tahun untuk mengatasi masalah itu.

Mohd Rizduan mempersoalkan, sejak Pas mentadbir Kelantan tahun 1990 dan sehingga kini sudah 32 tahun, perlukah menetapkan tempoh 30 tahun lagi untuk selesai?

“Kalau ianya angkara politik seperti dakwaan Mohd Amar? Semuanya disebabkan angkara Pas Kelantan, bukan kerana kerajaan pusat.

“Rakyat masih ingat pada 1991, amaran telah dikeluarkan kepada seluruh negara akan krisis bekalan air termasuk Kelantan dan kerajaan Persekutuan menawarkan pengurusan air diletakkan di bawah kerajaan pusat.

“Tetapi kerajaan Pas Kelantan menolak dan mahu bekalan air diletakkan di bawah senarai negeri. Ini menunjukkan Pas lebih mementingkan keegoan daripada kepentingan rakyat,” kata beliau.

Jelas beliau lagi, selepas menolak penawaran kerajaan pusat, pada 30 April 1994 kerajaan Pas Kelantan telah memberikan kontrak bekalan air kepada firma British, iaitu Thames Water.

“Satu perjanjian telah dimeterai dengan membentuk syarikat usahasama Kelantan Water Sdn. Bhd. dengan Yayasan Kelantan memiliki saham sebanyak 30 peratus.

“Pada masa sama, sekitar 1994, kerajaan pusat telah merangka program penukaran paip seluruh negara.

“Oleh kerana kerajaan Kelantan telah menandatangi perjanjian dengan Thames Water, negeri itu terlepas daripada program berkenaan kerana perjanjian pengurusan paip adalah di bawah firma British itu,” katanya.

Kata beliau, disebabkan keegoan kerajaan Pas dan sikap tergesa-gesa dalam mentadbir negeri telah membawa rakyat Kelantan terpaksa mengharungi masalah air bermula pada masa itu lagi.

Namun, tahun 2000, kerajaan pusat masih bertolenrasi untuk membantu permasalahan itu dengan memperuntukkan kira-kira RM600 juta kepada pengurusan air Kelantan.

Tetapi, disebabkan kerajaan negeri tidak pandai mengurus, masalah air masih terus membelenggu Kelantan walaupun disediakan peruntukan yang jauh lebih mencukupi. – MalaysiaGazette