KUALA LUMPUR – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sepatutnya bermakna untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang.
Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan sempena ulang tahun keempat terbentuknya Kerajaan PH selepas PRU-14 berkata, pengalaman pahit pengkhianatan Langkah Sheraton harus mengajar parti itu erti sebenar perjuangan.
“Ia wajib menyedarkan kita bahawa kemenangan bermakna menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan cemerlang. Kita juga perlu waspada terhadap kelompok dan puak yang tidak senang dengan kemenangan rakyat.
“Majlis Presiden mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang kekal setia dengan prinsip
perjuangan PH,” katanya.
Tambahnya, kejayaan yang ditempuh PH dalam membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-14 mampu adalah kerana parti tersebut berjaya mengatur strategi terbaik.
Malah kejayaan tersebut juga disebabkan fakor kerana pemimpin PH menjiwai hasrat dan denyut nadi rakyat serta berusaha sepenuh daya meyakini para pengundi.
“Pada hari ini, empat tahun lalu, sebuah Kerajaan baharu berjaya dibentuk atas semangat rakyat Malaysia yang telah bersama-sama bangkit menolak UMNO-BN dengan memilih PH dan seterusnya menyebabkan perubahan Kerajaan Persekutuan yang pertama sejak merdeka.
“Pada ketika itu, tiada sesiapa yang mampu menjangka perubahan bersejarah tersebut boleh berlaku. Malah ada penganalisa yang berkata BN akan menang mudah dengan dua pertiga kerusi Parlimen.
“Namun yang jelas, semangat rakyat untuk melakukan perubahan pada saat itu telah memungkinkan perubahan yang amat bermakna dalam sejarah politik tanah air,” katanya.
Sementara itu, PH akan melipat gandakan usaha bagi memenangi PRU-15.
Parti tersebut akan membentuk Jawatankuasa Pilihan Raya, Jawatankuasa Manifesto dan Jawatankuasa Jelajah Harapan sebagai persiapan bagi menghadapi PRU-15.
“Akhir sekali, menang kalah dan jatuh bangun itu adalah rasmi perjuangan. PH akan melipat gandakan usaha, merangkul seluruh kekuatan pembangkang untuk memastikan PRU-15 milik rakyat,” katanya.
Kerajaan PH pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibentuk pada Mei 2018 tumbang pada Februari 2020 selepas Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan berpuluh ahli Parlimen PKR dan Bersatu meninggalkan pakatan tersebut.-MalaysiaGazette