Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta berwarna merah dipandu lawan arus di Jalan Penang di Pulau Pinang pada Sabtu lalu.

GEORGE TOWN – Polis sedang mengesan pemilik sebuah kenderaan yang bertindak memandu secara melawan arus di Jalan Penang, di sini.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Sabtu lalu sebelum video berkaitannya dimuat naik pemilik akaun Facebook Jootatt Quah hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, tiada laporan berhubung kejadian dibuat oleh mana-mana pihak setakat ini namun proses mengesan pemilik kenderaan itu sedang dijalankan.

“Kita sedang kesan pemilik kenderaan itu untuk bantu siasatan.

“Kita juga mohon orang awam atau saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi 10 saat yang memaparkan sebuah kereta berwarna merah dilihat dipandu secara melawan arus antara Jalan Penang ke Jalan Burmah.

Kejadian yang dilaporkan berlaku jam 6.05 petang Sabtu lalu itu hampir menyebabkan kemalangan terhadap pengguna jalan raya lain yang melalui kawasan tersebut. – MalaysiaGazette