Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap pada sidang media mengenai laporan SPRM dan PDRM yang dibuat pihak PUTRA berkaitan penyelewengan dan salah guna kuasa oleh kerajaan Kelantan di Pejabat PUTRA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis diminta menyegerakan siasatan berhubung penyelewengan yang dikatakan berlaku di Hutan Simpan Nenggiri, Gua Musang.

Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, beliau telah membuat dua laporan iaitu polis Kelantan pada 14 April lalu dan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 25 April lalu, atas namanya sebagai anak jati Kelantan.

Dalam dua laporan itu, beliau menyerahkan satu dokumen berhubung maklumat yang dikatakan berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh kerajaan negeri.

Katanya, dokumen itu dijumpai dalam peti surat yang beralamatkan rumahnya di Taman Melawati, di sini, yang dipercayai dihantar oleh seseorang yang tidak dikenalinya bertujuan untuk dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Pada 1 April 2021, saya telah menjumpai sekeping salinan surat yang dimasukkan dalam peti surat kediaman saya di Jalan A8, Taman Melawati, Kuala Lumpur tanpa butiran penghantar.

“Surat itu dialamatkan kepada Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan bertarikh 11 Jun 2020 yang ditandatangani Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Kelantan, Shamsul Abu Bakar, yang mana surat ini diklafikasikan sebagai sulit.

“Surat yang menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar Kelantan itu bertajuk, “Pembekuan Kelulusan Projek Pembangunan Ladang Hutan di Dalam Hutan Simpan Nenggiri, Gua Musang, Kelantan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Dr. Ibrahim, surat itu juga turut menyatakan Menteri Besar Kelantan telah mengarahkan supaya semua bentuk pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Nenggiri, Gua Musang dibekukan serta merta.

Berdasarkan maklumat itu, beliau percaya, surat berkenaan dibocorkan oleh orang dalam berdasarkan kandungannya turut menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selaras dengan keputusan persidangan Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) bilangan 2/2020.

“MPFN bersetuju supaya aktiviti pembalakan hanya dibenarkan dalam kawasan hutan simpan yang dikenal pasti akan ditenggelami air bagi tujuan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri kelak.

“Kenapa baru hari ini saya membuat sidang media berhubung perkara ini, sedangkan laporan dibuat beberapa minggu lalu? Tidak bukan, untuk memberi ruang kepada kedua agensi penguatkuasa itu menjalankan siasatan tanpa gangguan politik atau pihak tertentu.

“Namun, saya percaya surat ini hanyalah satu penyelewengan yang dibuat oleh kerajaan Kelantan kerana tanah seluas 404 hektar di kompartmen 1, 2, 3, 4, 15 dan 17 Mukim Nenggiri telah diberikan lesen pembalakan kepada sebuah syarikat,” katanya.

Beliau yang merupakan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menjelaskan, selanjutnya tanah seluas 404 hektar di kompartmen 19, 20, 33 dan 34 Mukim Nenggiri juga telah diberikan kepada syarikat lain.

“Seterusnya, tanah seluas 404 hektar di kompartmen 16, 19, 33 dan 34 Mukim Nenggiri telah diberikan kelulusan pembalakan oleh kerajaan negeri melalui tender rundingan terus kepada sebuah lagi syarikat.

“Begitu juga, tanah seluas 391 hektar di kompartmen 75 dan 86 Mukim Nenggiri telah diberikan tender pembalakan secara rundingan terus kepada syarikat tertentu,” katanya.

Kata Ibrahim lagi, beliau mendapat maklumat bahawa semua syarikat itu adalah proksi kepada orang yang dekat dengan pemimpin kanan kerajaan negeri dan percaya surat arahan pembekuan serta merta itu hanya satu sandiwara.

Ini kerana, kata beliau, projek pembalakan oleh syarikat berkenaan yang berjumlah sembilan buah itu masih berlangsung sehingga kini dan semuanya tidak berada dalam kawasan hutan simpan yang bakal ditenggelami air berikutan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri.

“Saya minta SPRM dapat menjalankan penyiasatan dan membongkar penyelewengan serta salah guna kuasa oleh pihak berkenaan yang menjarah hasil bumi Kelantan untuk kepentingan peribadi.

“Saya telah dipanggil oleh pegawai penyiasat polis untuk mendapatkan keterangan mengenai dokumen atau surat ini dan kertas siasatan telah dibuka.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk menegakkan rule of law dan kepentingan rakyat Kelantan serta negara khususnya,” ujar beliau.

Katanya, laporan yang dibuatnya itu juga tidak ada kena mengena dengan politik, sebaliknya berkaitan dengan kepentingan alam sekitar, termasuk hanya dua pihak berkuasa ini yang diharapkan dapat membanteras segala penyelewengan. – MalaysiaGazette