Ashari Abu Samah
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah.

KUALA LUMPUR – Janin bayi yang cukup sifat ditemukan orang awam di dalam tandas di sebuah stesen minyak di Danau Kota, Setapak, di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira 4.57 petang dan sepasukan pegawai serta anggota telah menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati janin lelaki yang dianggarkan berusia enam hingga lapan bulan itu telah dibuang ke dalam mangkuk tandas di stesen minyak tersebut.

“Janin tersebut dibawa ke unit forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Ashari berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Kuala Lumpur 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette