Ahmad Zahid Hamidi Siti Bainun Rumah Bonda Bella
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pihak yang menyatakan UMNO sudah tidak relevan adalah satu kesilapan besar, tegas Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kata beliau, mereka itu sedang bermimpi di siang hari dengan membuat pelbagai andaian yang mustahil dan bukan-bukan.

“UMNO sebaliknya umpama pohon besar yang sedang menanti detik kembali berbuah.

“Meskipun pernah seakan-akan nyaris tumbang dipukul ribut, namun akarnya begitu utuh lagi kuat.

“Pohon UMNO nan luhur tetap teguh berpacak memayungi segenap naungannya,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Beliau mengingatkan kepada rakan UMNO, bahawa parti itu dilahirkan dengan air mata pengorbanan orang Melayu di Istana Melayu dan merupakan parti terbesar orang Melayu sejak 11 Mei 1946.

Katanya, UMNO juga telah mendepani rancangan Malayan Union oleh British demi survival bangsa Melayu.

“UMNO mempertahankan kedaulatan institusi diraja dan Raja-Raja Melayu. UMNO mengangkat kepentingan Melayu lagi memperkasakan syariat agama.

“UMNO jua sebuah parti politik semangat nasionalisme Melayu berpaksikan Islam. Kerana itu, UMNO masih bertapak di hati Melayu disebabkan asas penubuhannya yang jelas,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Zahid, UMNO tidak pernah sama sekali mengenepikan hak bukan Melayu kerana sejarah menunjukkan berpuluh tahun parti itu mengemudi teras pentadbiran negara sebagai bukti.

“Sahabat-sahabat UMNO sekalian, UMNO akan kembali berjuang dalam PRU akan datang.

“Amalan kita bermuafakat dan tidak berpecah belah. Serumpun bak serai, sesusun bak sireh.

“Perjuangan UMNO pada PRU15 jauh lebih murni. Demi sebuah kebenaran dan kewajipan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast