Mohd Amar Nik Abdullah

KOTA BHARU – Pas sentiasa terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, Pas bukan sahaja sentiasa terbuka untuk menjalin kerjasama dengan UMNO bahkan dengan semua parti politik yang mengutamakan Orang Melayu dan agama Islam sekali gus bertepatan dengan matlamat utama perjuangannya.

Mohd Amar berkata, keterbukaan Pas adalah bagi menjaga kepentingan ummah dan menghalang Pakatan Harapan kembali menjadi kerajaan.

“Sekarang Pas masih terbuka untuk bersama dengan UMNO sekiranya UMNO boleh menilai semula pendiriannya sebelum ini dan kembali bekerjasama dengan Pas, kita sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Malah apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri pun, kita tidak menarik sokongan. Kalau kita mahu khianati UMNO, ketika inilah kita nak tarik sokongan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerjasama parti tersebut dengan Pas melalui MN perlu dilupakan pada PRU15. – Bernama