Budaya politik wang dilihat semakin membimbangkan pada musim pemilihan parti PKR, kata Naib Presidennya Rafizi Ramli.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mempunyai formula untuk Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, PH boleh membentuk kerajaan pada PRU-15 walaupun berhadapan pertembungan tiga penjuru dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Formula tersebut menurutnya hasil daripada keputusan empat pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang berlangsung sebelum ini.

Jelas Rafizi, keputusan pilihan raya terbabit menunjukkan undi UMNO dan BN tidak meningkat tetapi kekal sekitar 40 hingga 43 peratus.

Sementara undi atas pagar telah beralih kepada PN.

Keputusan itu turut menunjukkan kelesuan politik yang melampau kerana tidak ramai pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab dan mereka adalah pengundi yang mengundi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Daripada angka ini, sebenarnya kalau kita masuk tanpa berunding tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang kita hanya perlukan untuk mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum itu mengundi PH tetapi beralih ke PN.

“Kalau kita dapat lima hingga 10 peratus untuk kembali ke PH kita makin dekat (untuk menang). Kalau kita berjaya tingkatkan lima peratus kadar keluar mengundi sebenarnya kita boleh membentuk blok yang paling besar dalam pilihan raya umum yang akan datang dalam pertandingan tiga penjuru,” jelas Rafizi.

Beliau berkata demikian dalam debat bersama seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri saifuddin Nasution Ismail yang dianjurkan oleh sebuah portal berita hari ini.

Beliau menegaskan, pemimpin PH perlu tahu sebab mengapa  mereka yang dulu mengundi PH beralih kepada PN.

Malah pemimpin PH juga perlu faham mengapa mereka yang dulu berkobar-kobar menyokong PH tidak lagi mahu keluar mengundi.

“Sebabnya ialah kerana mereka merasakan bahawa PKR dan PH telah terpisah daripada nadi rakyat. Dua tahun kita berada dalam PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tapi yang betul-betul ditumpukan oleh kepimpinan PRK dan PH ialah soal untuk mendapatkan orang melompat.

“Sedangkan rakyat dekat bawah, kita tidak suarakan masalah mereka,” katanya.

Tambah Rafizi, PKR dan PH mempunyai masa antara tiga bulan hingga setahun untuk membetulkan keadaan sebelum PRU-15 berlangsung.

Katanya, jika PH dan PKR betul-betul ikhlas dan sedar akan kesilapan yang telah dibuat, maka itu akan membantu untuk menarik semula sokongan pengundi kepada mereka.

Justeru beliau mahu pemimpin PH menunjukan isyarat kepada rakyat bahawa mereka tidak peduli tentang kedudukan dan kuasa menjadi menteri dan perdana menteri.

Sebaliknya, kepimpinan PH harus menonjolkan sikap mereka mahu memastikan negara berada pada landasan yang terbaik supaya rakyat tidak menanggung beban.-MalaysiaGazette