Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN – Kejadian hujan lebat dan sungai cetek antara penyebab insiden banjir kilat serta tanah runtuh di sekitar Janda Baik di Bentong semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, hujan terlampau lebat di kawasan hulu menyebabkan limpahan air dari sungai berhampiran.

“Ianya juga lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember 2021 lalu.

“Cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan bahawa taburan hujan awal pagi di kawasan tersebut ialah sebanyak 19.5 mm dalam tempoh tiga jam.

Jelas Wan Rosdy, kadar hujan 19.5mm dalam tempoh tiga  jam dikategorikan sangat lebat kerana taburan normal hujan adalah di bawah 10mm.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran Facebook rasminya semalam.

Susulan bencana tersebut, beliau mengarahkan beberapa tindakan dilaksanakan dengan kadar segera bagi membantu mangsa banjir yang terkesan.

“Sebagai langkah awal, sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain seperti selimut, tuala dan air mineral yang diselaraskan oleh Kerajaan Negeri diagihkan kepada mangsa yang terlibat.

“Pek makanan dan bantuan ini ditambah dari masa ke masa dengan kadar segera,” katanya.

Tambah Wan Rosdy, para Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang dari Bentong juga turun padang membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah dan akan melakukan gerak kerja secepat mungkin.

Pihak kerajaan negeri dan agensi yang terlibat juga sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir. – MalaysiaGazette