Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan lain di Jalan Batu Kawan, Pulau Pinang semalam.

BATU KAWAN – Seorang lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori kontena dan 12 kenderaan lain di Jalan Batu Kawan di sini, semalam.

Kejadian jam 6.20 petang itu mengakibatkan penunggang motosikal, Tang Hai Kok, 46, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, hasil siasatan mendapati sebuah lori kontena yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu melanggar 12 kenderaan lain yang berada dalam kedudukan sebaris.

Chong Chern.

Jelas beliau, pelanggaran itu berlaku disebabkan kegagalan brek pada kenderaan berat yang dipandu suspek.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah lori kontena, dua motosikal serta 10 kereta pelbagai jenama.

“Kesemua kenderaan itu mengalami kerosakan akibat kejadian namun seorang penunggang motosikal dilaporkan maut di lokasi kejadian.

“Selain itu, seorang wanita warga emas berusia 64 tahun turut cedera di bahagian bahu dan kaki kiri akibat kejadian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Lori kontena tersebut dikatakan terbabas ke bahu jalan selepas melanggar 12 kenderaan lain.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat dan proses bedah siasat dilakukan pagi ini.

Tambah beliau, pemandu lori kontena berkenaan ditahan di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Ujian air kencing mendapati pemandu itu negatif namun siasatan lanjut masih dilakukan.

“Kita minta saksi bebas di lokasi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau.

Terdahulu tular beberapa rakaman video berhubung kemalangan tersebut di media sosial. – MalaysiaGazette