Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Debat Perdana di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR -“Sebab itu kalau ada kek, jangan kek itu kita makan seorang. Kek kalau kita besarkan, siapa nak tentukan pembahagian itu adil?

“Orang tengok kek itu, elit politik makan banyak. Macam filem Musang Berjanggut – satu untuk kamu, satu untuk aku. Untuk aku banyak, untuk kamu sikit,” kata Datuk Seri Anwar secara sinikal ketika menjawab kenyataan Najib.

Kedua-dua mereka berkongsi pentas buat pertama kali dalam Debat Perdana di Auditorium MATIC di sini malam tadi.

Presiden PKR itu berkata, jika negara ingin membesarkan kek ekonomi, maka kerajaan harus memastikannya tidak hanya memberi manfaat kepada sesetengah pihak sahaja.

“Saya katakan bermula dengan masalah pengurusan kerajaan, integriti, pertanggungjawaban, pembentangan dan perbahasan terbuka.

“Dibangkitkan soal GST, saya pernah sebut dan ini pernah diulang oleh Datuk Seri Najib, bahawa ia satu sistem yang efisien. Tapi rakyat yang sekarang ini menganggur, pendapatan rendah, janganlah kutip dari dia,” katanya lagi.

Anwar berkata demikian menjawab kenyataan Najib yang membangkitkan bahawa soal ekonomi perlu mempunyai dua cabang – ekonomi kapital dan ekonomi rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan dirinya tiada masalah untuk membawa perbahasan baharu mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen.

Namun tegasnya, masalah rakyat tidak akan selesai semata-mata dengan pengenalan program seperti itu yang beliau disifatkan sebagai penyelesaian mudah.

“Sekarang ada masalah keyakinan dan mesti dipulihkan semula supaya rakyat bersama dengan kita. Rakyat yang gaji rendah, dapat pembelaan. Sebab itu saya cakap soal pekerjaan, pertanian, soal nasib pekerja.

“Ini masalah pekerja, sekarang ini tak terkendali. Apa disebut kelemahan Pakatan Harapan itu, sebenarnya jauh berjaya dalam atasi masalah kos sara hidup. Oleh demikian, kadang-kadang berita baik itu tidak enak didengar tapi harus dihadam dan dilihat, seperti harga ayam pada 2019 berbanding harga ayam sekarang,” katanya lagi.

Debat Perdana antara Najib dan Anwar berakhir pukul 10.30 malam tadi dengan kedua-dua mengetengahkan idea dan hujah masing-masing mengenai isu menyelamatkan syarikat Sapura Energy Berhad.

Sapura Energy mengalami peningkatan kerugian bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Januari lalu kepada RM8.9 bilion berbanding RM160.87 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelum ini.

Perolehannya merosot kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion disebabkan peratusan siap yang lebih rendah yang diiktiraf pada tahun semasa, berikutan pengiktirafan kerugian yang boleh dijangka termasuk lonjakan kos projek dalam segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ekonomi ibarat kek, kembang dan agih kepada rakyat – Najib

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast