Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) berucap pada Program Debat Perdana bersama pencabarnya yang merupakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di MaTiC, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 12 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Negara sepatutnya mengutamakan peningkatan ekonomi dengan menambah pelaburan negara yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menggunakan analogi sebiji kek, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan, kerajaan harus membesarkan kek sebelum ia dipotong dan dibahagikan kepada rakyat.

“Bagi mengembangkan kek kita, jangan jual aset. Kalau jual, seolah-olah ketuhar pun kita jual. Dahulu kita mempunyai hasil besar daripada GST (cukai barang dan perkhidmatan).

“Kalau hari ini ada GST, kita ada hasil tambahan RM30 bilion untuk beri subsidi kepada nelayan, pekebun kecil.

“Zaman BN (Barisan Nasional) dulu, kita beri elaun RM300 kepada nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan MATIC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Najib turut mencadangkan projek infra rakyat diteruskan sebagai langkah reset dengan matlamat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi.

Jelas beliau, projek-projek tersebut terbukti boleh membawa kepada pembangunan ekonomi negara.

“Bila bangunkan ekonomi negara, rakyat untung. Pekerjaan dapat disediakan dengan berjuta-juta bilangannya,” katanya.

Sementara itu, Debat Perdana yang julung kali diadakan malam ini mendapat kerjasama empat media iaitu MalaysiaGazette, Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kek apartheid kasi majority Melayu 30% ekonomi supaya minority expats timah dan getah meraih 70% ekonomi.

Comments are closed.