Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki menyamun sebuah kedai emas di Dataran Palma Ampang Point, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan di talian MERS 999 daripada seorang perempuan mengenai insiden itu pada jamĀ 1.41 petang.

“Dua lelaki yang memakai topi keledar serta jaket hitam dan tidak bersenjata itu meluru masuk ke dalam premis dan terus melompat ke dalam dan menuju ke arah kaunter.

“Suspek kemudian bertindak mengambil barang kemas yang di pamerkan di belakang dinding kedai emas itu sebelum meloloskan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semua pekerja berada dalam keadaan selamat dan mereka berlindung di sebalik setor kedai emas itu ketika kejadian.

Menurut Mohamad Farouk, polis sedang melakukan siasatan untuk menentukan anggaran kerugian dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompak dan berkumpulan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebat. – MalaysiaGazette