KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin negara Islam dan Arab turut berduka dengan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh kepimpinan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan warganya atas kemangkatan Presidennya, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, 73, pada Jumaat.

Berita sedih itu diumumkan Kementerian Hal Ehwal Presiden UAE.

Kementerian turut mengisytiharkan bendera dikibar separuh tiang dan tempoh berkabung 40 hari, selain menangguh kesemua tugasan melibatkan kementerian, jabatan, institusi persekutuan dan tempatan serta swasta selama tiga hari, bermula Jumaat.

Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani menerusi akaun Twitter berkata, “Kami menerima berita pemergian Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan dengan penuh rasa sedih. Kepada keluarga Yang Mulia dan warga UAE,  beta bersimpati dan mengucapkan takziah.”

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang mewakili rakyat dan negaranya juga mengucapkan takziah kepada keluarga Al Nahyan, yang disifatkannya sebagai “saudara dan sahabat paling dikasihi”.

Menurut kenyataan presiden Mesir, “Negara Arab hari ini (semalam) telah kehilangan satu simbol kesetiaan, (iaitu) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan, seorang pemimpin yang bijak, yang mendedikasikan dirinya kepada pembinaan, sokongan dan kerjasama semua negara Arab dan Islam.”

Sementara itu, Raja Jordan Raja Abdullah II dalam ciapan di Twitter berkata, “Kita telah kehilangan seorang saudara yang dikasihi dan pemimpin cemerlang yang mewarisi kebijaksanaan daripada Almarhum ayahandanya, Sheikh Zayed.”

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang turut berduka atas kemangkatan Presiden UAE, mengisytiharkan berkabung dan bendera dikibarkan separuh tiang selama sehari.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), “Presiden Abbas menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada Sheikh Mohammed bin Zayed, Putera Mahkota Abu Dhabi dan anak-anak Sheikh Khalifa.”

“Takziah juga kepada Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, serta kerajaan dan seluruh saudara kami rakyat UAE,” katanya.

Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa dalam satu kenyataan, mengucapkan takziah dengan menyatakan Sheikh Khalifa “adalah seorang pemimpin yang bijak yang mengabadikan hidupnya untuk berkhidmat kepada rakyat, negara dan manusia sejagat.”

Bahrain juga akan berkabung dan mengibarkan bendera separuh tiang selama tiga hari.

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati turut mengumumkan, dalam satu kenyataan, negaranya juga akan berkabung.

Mikati berkata bendera juga akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari sehingga Ahad.

“Semua pentadbiran, institusi rasmi dan majlis perbandaran diminta mengubah suai program tetap di stesen radio dan televisyen selaras dengan peristiwa duka ini,” katanya.

Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune turut mengucapkan takziah dan mengisytiharkan dua hari berkabung atas semangat kebersamaan.

Sementara ketua Majlis Berdaulat Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, menzahirkan simpati atas pemergian Sheikh Khalifa, dengan berkata, “Beliau adalah seorang pemimpin yang cemerlang dan bijak, yang menyumbang kepada kebangkitan negaranya, sehingga ia menjadi model pembangunan dan kemajuan.”

Al-Burhan menambah dalam satu kenyataan, “Baginda almarhum seorang yang kuat bekerja dan ikhlas dalam mempromosikan usaha sama Arab dan menyokong isu-isu Arab di peringkat serantau dan antarabangsa.”

Di Iraq, Presiden Barham Salih, Perdana Menteri Mustafa al-Kazemi dan Speaker Parlimen Muhammad al-Halbousi, dalam ciapan Twitter berasingan, mengucapkan takziah kepada barisan kepimpinan UAE dan rakyatnya atas kemangkatan Sheikh Khalifa.

“Beliau terkenal dengan kebijaksanaan dan kemurahan hati demi tanah airnya, negara Arab dan Islam,” kata Presiden Salih.

Presiden Majlis Presiden Yaman, Rashad al-Alimi, dalam satu kenyataan memberitahu, “Bangsa Arab dan Islam telah kehilangan, dengan pemergian Sheikh Khalifa bin Zayed, seorang pemimpin yang bijaksana, yang mendedikasikan hidupnya untuk berkhidmat dan menyumbang demi keamanan dunia.”

“Baginda seorang pemimpin yang cepat bertindak balas kepada seruan bantuan kemanusiaan di Timur dan Barat bumi,” tambahnya.

Beliau memuji Almarhum atas sokongannya terhadap legitimasi Yaman dan sumbangan kemanusiaan UAE dalam melaksanakan projek pembangunan di Yaman.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Ibrahim Taha, menerusi kenyataan yang diterima Bernama berkata, “Almarhum menyumbang dengan kebijaksanaan dan kebolehannya dalam pertumbuhan dan pembangunan UAE.”

Taha menambah, “Almarhum adalah antara pemimpin paling terkemuka dalam kerja-kerja kemanusiaan di dalam dan di luar UAE.”

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, Nayef Al-Hajraf dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga pemerintah, kerajaan dan rakyat UAE.

Al-Hajraf berkata, “Allahyarham mempunyai peranan dan sumbangan yang besar dalam menyokong dan menyatukan Majlis Kerjasama untuk Negara-negara Arab Teluk. Kita kehilangan seorang pemimpin dan perintis Teluk, Arab dan antarabangsa.”

Emir Kuwait, Syeikh Nawaf al-Ahmad al-Jaber al-Sabah, turut memerintahkan negaranya menjalani adat berkabung rasmi selama 40 hari, mengibarkan bendera separuh tiang dan penangguhan fungsi jabatan rasmi selama tiga hari, bermula Jumaat.

Al-Sabah yang dipetik Agensi Berita Kuwait (KUNA) berkata, “Negara-negara Arab dan Islam telah kehilangan seorang pemimpin berdedikasi, yang mengabadikan hidupnya demi negara dan rakyatnya, selain mempertahankan isu-isu Arab dan Islam.”

Sebagai tambahan, stesen televisyen rasmi di Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar, Oman dan Jordan menangguh siaran program tetap mereka dan menggantinya dengan penyiaran bacaan ayat suci al-Quran.

Presiden Tunisia, Kais Saied dan Raja Maghribi, Raja Mohammed VI, turut mengutus ucapan takziah atas kehilangan besar ini, menerusi kenyataan berasingan di Facebook, lapor Anadolu.

Raja Mohammed VI menegaskan bahawa Almarhum “sangat komited untuk menyatu dan membangunkan hubungan antara kedua-dua negara, selain mengukuhkan perpaduan dan sinergi mengenai pelbagai isu penting dan bersama.”

Maghribi mengisytiharkan perkabungan rasmi selama tiga hari dan bendera negara dikibarkan separuh tiang di bangunan kerajaan, pentadbiran dan tempat awam, termasuklah di pejabat kedutaan dan konsulat Maghribi di luar negara.

Menurut laporan media, Sheikh Khalifa, yang memegang jawatan sejak 2004 menggantikan ayahandanya, Sheikh Zayed bin Sultan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast