Noh Omar

TANJONG KARANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi memperincikan bahawa hanya kumpulan usahawan mikro yang diberi pengecualian bagi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 sehingga akhir tahun ini.

“Pengecualian pelaksanaan PGM 2022 telah diputuskan dalam Kabinet. Yang dikecualikan mungkin istilah (perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)) tetapi kumpulan yang dikecualikan ialah usahawan mikro.

“Tafsiran usahawan mikro ini ialah mana-mana usahawan atau syarikat yang pendapatannya di bawah RM300,000 ke bawah dan mempunyai pekerja tidak lebih lima orang,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Sungai Burong, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Noh berkata pihaknya amat menggalakkan mana-mana usahawan mikro untuk melaksanakan PGM 2022 seiring dengan penguatkuasaannya bermula 1 Mei lepas.

“Kalau ada mana-mana usahawan mikro yang boleh membayar lebih mengikut gaji minimum itu amat digalakkan. Kita tidak mahu kalau ada usahawan tidak mampu.

“Dianggarkan sebanyak 46,000 yang gulung tikar adalah kumpulan usahawan mikro. Apabila dia (usahawan mikro) baru nak bangkit dan kalau kita memaksa mereka untuk membayar gaji minimum RM1,500, saya bimbang mereka akan tertekan,” katanya.

Dua hari lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, majikan yang terlibat dalam PMKS diberi pengecualian pelaksanaan PGM 2022 sehingga akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Awang berkata, majikan terlibat dalam bidang profesional seperti peguam dan doktor tetap perlu mengikut pelaksanaan PGM yang perlu membayar gaji RM1,500 kepada setiap seorang pekerja.

Pada 27 April lepas, kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei lepas.

Menurut PGM, bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan menjalankan sesuatu aktiviti profesional dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) 2020, kadar gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei. – MalaysiaGazette