Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media sempena berakhirnya lawatannya ke AS. Foto Bernama

WASHINGTON D.C – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan kerja empat harinya ke Amerika Syarikat (AS) sebagai satu kejayaan.

Beliau berkata lawatannya itu mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS, dan juga ASEAN-AS.

“Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada segi politik dan perdagangan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada hari terakhir lawatannya, yang bermula Selasa (Rabu di Malaysia).

AS adalah rakan dagang kedua terbesar, dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia,” tambahnya.

Beliau berkata mesyuarat beliau dengan pemimpin-pemimpin AS serta peneraju industri negara itu telah meningkatkan lagi hubungan berkenaan.

Ismail Sabri berkata, perjumpaan dengan para pelabur serta peneraju industri Amerika memperlihatkan bahawa terdapat potensi pelaburan yang besar bagi Malaysia pada masa akan datang.

“Ramai yang berminat. Ada yang berjanji hendak tambah pelaburan dan ada yang hendak membuat pelaburan baharu,” katanya.

Dalam lawatan kerja itu, perdana menteri menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini dan menemui Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris serta lain-lain pemimpin negara-negara ASEAN.

Presiden Biden turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pemimpin negara-negara ASEAN itu di White House, Khamis.

Ismail Sabri turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada hari Rabu (Khamis di Malaysia). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast